
KUNAK: Seekor lagi buaya dewasa dikesan di perairan Pangi, Kampung Hampilan berhampiran Pantai Sarina pada Jumaat malam.
Situasi itu dikatakan hanya dua hari selepas seekor buaya dewasa sepanjang 12 kaki ditembak mati di perairan sama.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kunak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai penampakan reptilia itu pada jam 9.26 malam Jumaat.
APM menyatakan buaya berkenaan dikesan oleh beberapa individu yang sedang memancing di kawasan tersebut dengan sebahagian daripada mereka sempat merakam video haiwan terbabit di dalam air.
Berikutan itu APM menasihatkan orang ramai supaya segera meninggalkan kawasan berkenaan dan menjauhi pesisir pantai demi keselamatan.
Penduduk di kawasan berhampiran turut diminta agar sentiasa berwaspada dan menghentikan sementara aktiviti di sepanjang pantai sehingga keadaan disahkan selamat.






