Budak 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

27 Dec 2023 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu melakukan operasi pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Tok Hakim.

image is not available
Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tok Hakim pada petang Rabu.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun hilang, dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tok Hakim, dekat sini pada petang Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mangsa dikenali sebagai Muhd Haraz Ilman Mohd Sharil Ridzuan dilaporkan kali terakhir dilihat mandi manda bersama adik lelaki dan seorang lagi rakannya di sungai tersebut pada jam 4.46 petang.

"Semasa kejadian mangsa bersama adik lelakinya berusia sembilan tahun dan seorang lagi rakan sebaya sedang mandi manda di sungai berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras.

"Adik lelaki dan rakannya berjaya diselamatkan oleh orang awam, namun mangsa dipercayai hilang di sekitar kawasan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Tok Hakim di sini pada Rabu.

Rozizah berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan melibatkan 19 anggota dari BBP Kuala Terengganu bersama lima jentera dan sebuah bot.

"Operasi mengesan mangsa kini diteruskan dengan pencarian di air menerusi selaman ke kawasan yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' melibatkan pasukan penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.