Budak 6 Tahun M*ti Lemas, Tangan Tersangkut Lubang Saliran Kolam Renang

Entertainment
25 Feb 2025 • 12:03 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Keriangan percutian hujung minggu bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tangannya tersangkut pada lubang saliran air kolam renang di sebuah hotel.

Menurut laporan media tempatan, insiden malang ini berlaku di Kecamatan Pameungpeuk, Kabupaten Garut, pada Ahad sekitar jam 10.00 pagi.

Kejadian berlaku ketika mangsa bermain gelongsor air sebelum meluncur ke dalam kolam sedalam satu meter.

Saksi mendakwa melihat mangsa meluncur masuk ke dalam air, namun kelibatnya tidak kelihatan timbul ke permukaan walaupun sudah beberapa lama tenggelam.

Pengunjung yang menyedari kejadian itu segera bertindak terjun ke dalam air bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.

Difahamkan, tangan mangsa telah tersangkut pada lubang saliran air kolam renang yang tidak mempunyai penutup.

Beberapa pengunjung cuba mengeluarkan air kolam dengan menggunakan baldi untuk mengurangkan tekanan air di sekitar mangsa.

Tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba di lokasi memberikan bantuan awal dengan membekalkan oksigen kepada mangsa.

Bagaimanapun, keadaan mangsa sangat sukar untuk diselamatkan akibat tekanan air yang kuat seolah-olah bertindak seperti vakum yang menarik mangsa.

“Kami terpaksa menggunakan mesin penyedut air bagi mengurangkan tekanan air dalam kolam. Selain itu, kami juga terpaksa memecahkan bahagian saluran pembuangan kolam renang bagi membebaskan tangan mangsa,” jelasnya.

Selepas pihak bomba berjaya mengeluarkan kanak-kanak itu, mangsa terus dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.