
PITAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, yang dilaporkan hilang di Sungai Bengkoka, di sini, pada petang Selasa, ditemui lemas pada pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, Nurfaizah Azidah Johari ditemui penduduk kampung pada pukul 7.36 pagi, kira-kira 1km dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Pasukan bomba seterusnya membawa keluar mangsa menggunakan pengusung dan menyerahkannya kepada polis,” katanya.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas balai menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 petang Selasa berhubung kejadian membabitkan lima mangsa di sungai itu.
Katanya, enam anggota BBP Pitas tiba di lokasi kejadian sejauh 10km dan bertindak menjalankan SAR menggunakan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dengan kaedah Surface Water Rescue, dalam radius pencarian 1km dari PKB.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang remaja 14 tahun hampir lemas dan dihantar ke hospital, sementara dua lagi remaja berumur 18 tahun dan 14 tahun selamat.




