
ALOR SETAR – Apa yang suatu ketika dahulu dianggap sekadar trend kini berubah menjadi kegilaan apabila makanan Korea semakin sebati dalam kehidupan golongan muda sehingga ada yang menjadikannya menu utama hampir setiap hari.
Situasi itu bagaimanapun mencetuskan persoalan besar apabila budaya mengambil menu Korea yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak boleh mengundang risiko kesihatan terutama berkaitan berat badan dan obesiti.
Antara jenis makanan Korea yang mudah diperoleh di kedai serbaneka dan kafe seluruh negara termasuklah mi segera, ramyeon, tteokbokki dan kimbap dan sosej, oden, makanan sejuk beku, ais krim, snek serta pelbagai minuman tular.
Pengaruh media sosial menerusi perkongsian kandungan mukbang, ulasan makanan, K-drama dan video memasak turut mempengaruhi generasi tersebut terhadap menu Korea.
Masalah timbul apabila trend tersebut kini sudah menjadi kebiasaan bagi golongan muda dan kanak-kanak, sehingga ada menjadikannya sebagai hidangan harian untuk menggantikan makanan yang dimasak di rumah.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 mendapati, 14.4 peratus kanak-kanak dan remaja berusia antara lima hingga 19 tahun di negara ini mengalami berat badan berlebihan, manakala 13.6 peratus pula dikategorikan sebagai obesiti.
Bagi golongan berusia 18 tahun ke atas pula, sebanyak 30.5 peratus mengalami berat badan berlebihan, 23.1 peratus obesiti dan 52.1 peratus buncit.
Pegawai Dietetik Kedah Medical Centre (KMC), Mohd. Khir Izwan Ariffin berkata, trend tersebut semakin ketara berbanding sedekad lalu apabila makanan segera kini mudah diperoleh pada bila-bila masa.
Katanya, ibu bapa yang bekerja juga sering memilih makanan segera kerana lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding memasak di rumah.
“Media sosial seperti TikTok dan Instagram juga mempengaruhi orang muda termasuk kanak-kanak. Ramai pempengaruh mempromosikan makanan segera, makanan Korea dan video mukbang sehingga mendorong mereka mencuba makanan tular,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, kewujudan kedai serbaneka 24 jam serta perkhidmatan penghantaran makanan turut menjadikan makanan ultra proses semakin mudah diperoleh, sedangkan makanan itu mengandungi kandungan tinggi garam, gula, lemak trans, bahan pengawet dan perisa.
Katanya, sejenis bahan iaitu akrilamida yang terhasil melalui proses kimia apabila makanan yang tinggi karbohidrat atau kanji dimasak pada suhu tinggi turut menyumbang kepada penyakit kanser.
Beliau berkata, pengambilan makanan segera atau ultra proses secara kerap meningkatkan risiko obesiti sebelum membawa kepada penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi.
“Hasil kajian NHMS mendapati 50.1 peratus rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan. Ini bermakna seorang daripada dua orang dewasa mengalami berat badan berlebihan. Jika tabiat ini bermula sejak kecil, penyakit kronik akan muncul lebih awal,” ujarnya.
Beliau berkata, trend diabetes dalam kalangan kanak-kanak turut berubah apabila semakin ramai menghidap diabetes jenis dua yang lazimnya berpunca daripada gaya hidup dan pemakanan.
“Saya sendiri pernah mengendalikan satu kes kanak-kanak berusia 12 tahun dengan berat 70 kilogram yang menghidap diabetes selepas mengambil ‘minuman bergas’ hampir setiap hari dan jarang bersukan,” katanya.
Menurutnya, makanan ultra proses juga menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu memilih kerana hidangan tinggi gula dan garam boleh menyebabkan ketagihan kerana merangsang penghasilan dopamine yang memberi rasa seronok.
“Diet tinggi makanan ultra proses turut dikaitkan dengan masalah tumpuan di sekolah dan perubahan emosi, walaupun hubungan sebab dan akibat masih memerlukan kajian lanjut,” jelasnya.
Justeru, beliau menyarankan ibu bapa mengehadkan makanan segera kepada anak masing-masing selain menggalakkan lebih banyak makanan segar dan dimasak sendiri.
Selain memastikan kanak-kanak aktif bersenam, beliau turut mencadangkan lebih banyak pilihan makanan sihat disediakan di kantin sekolah serta pendidikan pemakanan diperluaskan kepada murid dan ibu bapa.
“Jika tiada intervensi dilakukan sekarang, penyakit tidak berjangkit dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang dan memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Dietetik, Farah Farhanah Hashim berkata, pengambilan makanan segera dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda semakin membimbangkan apabila trend itu dilihat meningkat terutama dalam kalangan pelajar sekolah rendah berusia tujuh tahun ke atas.
Katanya, perkara itu adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya mengendalikan kes-kes masalah pemakanan kanak-kanak dalam negara.
“Pertama adalah disebabkan kewujudan kedai menjual produk makanan Korea yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Malah, ada juga kiosk menjual makanan segera berdekatan kawasan persekolahan.
“Selain itu, kedai serbaneka 24 jam juga sudah menawarkan produk makanan sebegitu. Bukan hanya makanan Korea, makanan dan minuman segera yang dijual di premis dan kafe tertentu turut menjadi kegilaan pelajar sekolah,” katanya.
Kata beliau, makanan dan minuman segera yang lazat dan pelbagai rasa termasuk manis dan pedas itu sebenarnya merangsang ‘reward center’ dalam otak kita untuk rasa seronok selepas mengambil makanan tersebut,” ujarnya.
Menurut beliau, kesan pengambilan makanan segera secara berlebihan tidak perlu menunggu lama untuk berlaku kerana penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi kini semakin menular dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
“Tidak perlu tengok 10 tahun akan datang kerana peningkatan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi semakin menular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja iaitu seawal usia 14 tahun,” jelasnya.
Tambahnya, persepsi bahawa makanan Korea lebih sihat perlu diperbetulkan kerana tidak semua menu berkenaan mempunyai nilai pemakanan yang baik.
“Makanan Korea boleh dibahagikan kepada makanan tradisional seperti kimchi dan sup yang lebih sihat. Makanan moden seperti dalam pek kebanyakannya tidak sihat.
“Sama sahaja di Malaysia, ramyeon merupakan makanan yang paling tinggi kandungan garam manakala tteokbokki makanan yang paling tinggi kalori,” jelasnya.
The post Budak Malaysia obses makanan segera Korea appeared first on Kosmo Digital.






