
SELURUH dunia kini menerima kejutan hebat berkaitan kesan maksimum yang dialami oleh manusia akibat alam yang semakin tidak stabil. Isu keselamatan menjadi perkara utama tidak kira masa dan ketika.
Kini tanah benua telah menunjukkan ‘persembahan’ yang tidak dijangka. Dalam damai cuaca, alam dan manusia tetap berdepan dengan pelbagai risiko dan semua pihak memberikan tumpuan khusus kepada aspek pertahanan serta ketahanan bentuk muka bumi dan juga cuaca.
Malaysia sudah tentu turut berdukacita dengan apa yang dialami oleh Nepal malah kesannya benar-benar dirasai oleh waris mahupun keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi yang sama sekali tidak dijangka ini.
Kita berdepan dengan pelbagai risiko khususnya aspek keselamatan serta berkaitan kesan buruk krisis iklim dan alam sekitar serta juga aspek keselamatan yang dihubungkan dengan kemajuan infrastruktur seperti kemajuan perhubungan jalan raya yang sehingga kini amat dibimbangi oleh banyak pihak.
Jalan raya seolah-olah medan ‘perang’ untuk mempertaruhkan nyawa. Memilih perjalanan di lebuh raya atau jalan raya negeri, kedua-duanya dilihat menjadi igauan ngeri sesetengah daripada kita.
Apa yang boleh kita telitikan untuk bersama-sama meningkatkan literasi keselamatan serta kebijaksanaan sebagai pengguna kemajuan ini?
Tingkatkan kesedaran kita berkaitan peri pentingnya jalan raya dan memahami bagaimana kemudahan dan infrastruktur ini mewujudkan kesejahteraan kepada seluruh pengguna.
Di Malaysia, menurut laporan CIDB, rangkaian perhubungan jalan raya moden dan komprehensif yang dimajukan oleh negara ini meliputi 260,000 kilometer yang merupakan antara yang terbaik di rantau ini.
Fungsi utama bukan sahaja sebagai pemangkin koridor ekonomi baharu era milenium ini, tetapi juga merupakan kaedah terbaik menyeimbangkan graf ekonomi yang selari dengan kepantasan kemajuan urbanisasi, demografi serta teknologi yang memberikan impak besar kepada banyak penjanaan domestik secara menyeluruh di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Oleh yang demikian, apabila menghubungkan jalan raya, isu keselamatan tidak bermula selepas kemalangan berlaku.
Keselamatan bermula lebih awal melalui sikap berhati-hati, keputusan yang matang dan kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Tindakan pintar pengguna yang hanya mengambil masa beberapa minit lebih baik daripada kehilangan nyawa atau menanggung penyesalan sepanjang hayat dek kerana kegopohan, kecuaian serta mudah hilang sabar yang dimiliki oleh kebanyakan pemandu.
Namun persoalannya, sudah pintarkah kita semasa menggunakan jalan raya atau adakah emosi pemacu utama saat kita memfokuskan pemanduan yang akhirnya mengakibatkan kesan buruk kepada pengguna yang lain.
Keperluan membina sikap sentiasa bersedia selari dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 yang menyasarkan pengurangan 50 peratus kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030.
Pelan ini memperlihatkan bahawa keselamatan tidak boleh diletakkan pada bahu pemandu semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, pengendali pengangkutan, industri logistik, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.
Dalam sektor logistik, kesiapsiagaan perlu diterjemahkan melalui penyelenggaraan kenderaan, perancangan laluan, pengurusan kelajuan, pemantauan waktu kerja dan rehat pemandu serta penyediaan pelan tindak balas kecemasan.
Tekanan mengejar jadual penghantaran tidak seharusnya mengatasi keselamatan manusia. Dasar yang baik hanya akan berkesan apabila disertai perubahan sikap, pematuhan dan rasa tanggungjawab bersama.
Kemalangan jalan raya bukan semata-mata berpunca daripada keadaan jalan atau kegagalan kenderaan, tetapi sering berkait rapat dengan sikap manusia.
Sikap terlalu yakin, tergesa-gesa, cuai dan beranggapan bahawa musibah tidak akan berlaku kepada diri sendiri boleh meningkatkan risiko kemalangan.
Kes yang berlaku di Sunway seharusnya menjadi peringatan bahawa kehidupan seseorang boleh berubah hanya dalam beberapa saat.
Oleh itu, masyarakat perlu membudayakan kesiapsiagaan dalam setiap aspek kehidupan. Sebelum memulakan perjalanan, pemandu bukan sahaja perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, malah mestilah bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi.
Ketika berada di jalan raya, tumpuan penuh, pematuhan undang-undang dan kepekaan terhadap tindakan pengguna lain menjadi benteng utama daripada tragedi.
Persoalannya, mengapakah kemalangan jalan raya terus berlaku dengan begitu kerap? Jawapannya tidak boleh disandarkan kepada sikap pemandu atau keadaan jalan semata-mata.
Kebanyakan nahas tercetus daripada pertembungan beberapa faktor kecuaian manusia, kelemahan infrastruktur, keadaan kenderaan, cuaca, tekanan kerja dan tahap penguatkuasaan.
Sikap memang menjadi antara faktor penting terhadap isu keselamatan jalan raya, akan tetapi sistem pengangkutan yang selamat harus dibina dengan kesedaran bahawa manusia boleh melakukan kesilapan.
Oleh itu, jalan raya, kenderaan, peraturan dan tindak balas kecemasan perlu berfungsi bersama-sama supaya satu kesilapan tidak berakhir dengan kehilangan nyawa. Kesiapsiagaan bukan bermaksud hidup dalam ketakutan.
Sebaliknya, ia mencerminkan sikap bertanggungjawab dan kesedaran bahawa perkara tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa. Budaya keselamatan harus bermula dengan perubahan.
Pemikiran daripada menganggap “perkara itu tidak akan berlaku kepada saya” kepada kesedaran bahawa “saya mesti sentiasa bersedia dan saya akan memastikan perjalanan ini selamat untuk saya serta yang lain juga.”
Bersempena dengan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia ini, ayuh bersama-sama kita wujudkan jalan raya yang merdeka daripada risiko berbahaya! Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69! Dirgahayu negaraku tercinta! – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Sosiologi (Bahasa, Komunikasi dan Media), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
The post Budaya bersedia perlu diterapkan demi keselamatan jalan raya appeared first on Utusan Malaysia.





