‘Saya tak sokong, tapi...’ – Isu drama 'Madu atau Racun', Kamal Adli rayu netizen jangan libatkan Hawra dan serang peribadi Uqasha Senrose

Entertainment
3 Sep 2026 • 2:31 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Saya tak sokong, tapi...’ – Isu drama 'Madu atau Racun', Kamal Adli rayu netizen jangan libatkan Hawra dan serang peribadi Uqasha Senrose

ISU panas membabitkan pelakon popular, Uqasha Senrose susulan peranannya dalam drama Madu atau Racun nampaknya masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Namun apa yang lebih menyedihkan, tempias kecaman netizen kini nampaknya mula merebak dan mengena kepada si cilik yang langsung tidak berdosa iaitu anak perempuannya.

Enggan membiarkan buah hati tersayang terus menjadi mangsa toksik media sosial, pelakon popular, Kamal Adli tampil mempertahankan anak perempuannya, Hawra Uqaira.

Meski mengambil sikap berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, pelakon drama P.L. I Love You itu secara terbuka memohon agar orang ramai tidak menyerang peribadi bekas isterinya itu sehingga menjejaskan rezeki mahupun melibatkan anak mereka.

Melalui satu hantaran yang penuh tulus, Kamal secara terbuka merayu kedamaian daripada warganet.

Image from: ‘Saya tak sokong, tapi...’ – Isu drama 'Madu atau Racun', Kamal Adli rayu netizen jangan libatkan Hawra dan serang peribadi Uqasha Senrose

"Salam rakyat. Minta maaf sangat-sangat, saya tahu saya tak layak cakap apa-apa. Tapi pasal isu drama Madu Atau Racun tu, harap sangat-sangat korang jangan serang peribadi Uqasha sampai melibatkan nama anak saya, Hawra dan benda lain.

"Saya tak sokong, tapi janganlah sampai libatkan peribadi semua dan rezeki Uqasha ya. Terima kasih rakyat. Sayang rakyat comel," luahnya jujur menerusi laman Threads.

Menjengah ke ruangan komen, kenyataan matang daripada Kamal itu terus menerima pelbagai reaksi bersahut-sahutan daripada warga maya.

Sesetengah netizen menjelaskan niat mereka sambil berkata, "Orang sayang Hawra, sebab tu orang tegur mak dia."

Tidak kurang juga yang menyokong ketegasan Kamal dan memuji, "Inilah lelaki yang bertanggungjawab dan berani. Tahniah KA!"

Namun, ada juga yang menegur prinsip memilih watak dengan berpendapat bahawa jika tidak mahu anak terpalit kutukan, seseorang itu sepatutnya berfikir baik buruk sebelum terima skrip kerana tindakan orang dewasa tetap memberi kesan kepada keluarga.

Image from: ‘Saya tak sokong, tapi...’ – Isu drama 'Madu atau Racun', Kamal Adli rayu netizen jangan libatkan Hawra dan serang peribadi Uqasha Senrose

Pada masa sama, ramai juga yang bersetuju dengan pandangan Kamal bahawa anak-anak tidak wajar diheret sama sekali.

Menurut seorang pengguna, apa sahaja kesalahan orang dewasa, jangan sesekali diheret anak yang tidak tahu apa-apa kerana teguran harus pada perbuatan dan bukannya menyerang peribadi atau menghina keluarga.

Pengguna lain turut menambah dengan tegas bahawa mereka yang menyerang anak kecil disebabkan watak lakonan yang mempunyai unsur sensitif adalah tindakan yang sangat tidak wajar kerana kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa.

Rata-rata netizen berharap insiden ini menjadi pengajaran berguna buat semua pelakon dalam memilih skrip yang lebih membina pada masa depan.

Malah, ada yang sempat menitipkan pesan bahawa orang tua-tua dahulu selalu mengingatkan agar setiap tindakan sentiasa menjaga maruah ibu bapa, pasangan dan anak-anak.

Apa pun yang telah berlaku tidak lagi boleh diubah, namun apa yang pasti, isu pilihan naskhah seni mungkin boleh diperdebatkan, tetapi bertindak keterlaluan sehingga melibatkan anak kecil yang masih bersih daripada sebarang dosa jelas sekali bukanlah tindakan yang wajar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved