Budaya saling membantu asas perkukuh kesejahteraan ummah – Raja Muda Perlis

2 Aug 2026 • 8:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Budaya saling membantu asas perkukuh kesejahteraan ummah – Raja Muda Perlis

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, budaya saling membantu, mengambil berat dan menyantuni perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat sebagai asas penting memperkukuhkan kesejahteraan ummah.

Baginda bertitah, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap jiran, ahli keluarga dan komuniti di sekeliling mereka.

Titah baginda, setiap sumbangan dihulurkan dengan penuh keikhlasan walaupun kecil nilainya, mampu membawa sinar harapan dan meringankan beban mereka yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kehidupan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada para usahawan yang terus gigih membangunkan ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif keusahawanan.

“Lawatan ke premis usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan perusahaan tempatan di samping meningkatkan keyakinan masyarakat untuk terus menyokong produk dan perkhidmatan yang diusahakan oleh anak-anak Perlis”, titah baginda ketika berkenan berangkat mengetuai Program Konvoi MAIPs Peduli sekitar Beseri baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Persatuan Alumni MRSM Beseri, Persatuan Kaunseling dan Psikologi MARA (PEKAMARA), MARA, Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Usahawan MARA serta Rural Capital Berhad (RCB) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan), Ir. Mahzan Teh; Pengarah MARA Perlis, Mohd Norwawi Ibrahim, Pengetua MRSM Beseri, Mohd Rizalmi Dahaman bersama barisan pengurusan tertinggi MARA.

Sepanjang program konvoi tersebut, Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat menziarahi tiga keluarga asnaf terpilih iaitu Che Munir Mansor dari Batu 5, Kampung Paya, Hamidah Noh, 67, dari Kampung Semadong dan Salim Ali, 75, dari Kampung Padang Malau.

Setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, beras fidyah serta sumbangan tambahan daripada RCB dan ANSERI sebagai usaha membantu meringankan beban kehidupan mereka.

Selain menyantuni golongan memerlukan, rombongan konvoi turut mengadakan kunjungan ke beberapa premis usahawan bimbingan MARA di sekitar Beseri bagi meninjau perkembangan perusahaan tempatan serta memperkukuhkan hubungan antara institusi, usahawan dan komuniti.-UTUSAN

The post Budaya saling membantu asas perkukuh kesejahteraan ummah – Raja Muda Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved