BUDI Diesel Diperluas, Pemilik Pikap Dan Jip Terima Tambahan Kuota 100 Liter

LocalCars
22 Jun 2026 • 8:29 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu yang akan bermula pada 1 Julai depan menyaksikan pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak bakal menerima tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter sebulan menerusi inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Image from: BUDI Diesel Diperluas, Pemilik Pikap Dan Jip Terima Tambahan Kuota 100 Liter

Dengan penambahan itu, jumlah kelayakan subsidi diesel bagi golongan terbabit meningkat kepada 300 liter sebulan, sekali gus dijangka mampu menampung keperluan majoriti pengguna diesel di negara ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan berdasarkan anggaran semasa, kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter bahan api sebulan, menjadikan kuota baharu itu mencukupi untuk kebanyakan penerima yang layak.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pembaharuan BUDI Diesel yang akan menyeragamkan harga serta kaedah subsidi diesel di seluruh negara bermula 1 Julai ini.

“Pembaharuan ini bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel menerusi sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.
“Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti pelaksanaanya ketika ini, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi untuk warganegara dilanjutkan kepada subsidi diesel,” katanya pada sidang media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel.

Image from: BUDI Diesel Diperluas, Pemilik Pikap Dan Jip Terima Tambahan Kuota 100 Liter

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut Amir Hamzah, di bawah mekanisme baharu berkenaan, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.

Beliau berkata, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan, sekali gus menjadikan had asas tersebut memadai bagi sebahagian besar penerima.

“Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman.
“Pada masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal, termasuk diesel pada harga RM1.65 seliter untuk nelayan, BUDI Agri-Komoditi bagi petani kecil serta pemegang tanah komoditi berdaftar, dan SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres,” katanya.

Image from: BUDI Diesel Diperluas, Pemilik Pikap Dan Jip Terima Tambahan Kuota 100 Liter

Dalam perkembangan sama, bermula hari ini pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan serta had kelayakan bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI.

Bagi pemilik pikap dan jip yang layak, permohonan tambahan kuota 100 liter sebulan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal berkenaan atau hadir ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) berhampiran.

Sumber: Facebook Kementerian Kewangan

The post BUDI Diesel Diperluas, Pemilik Pikap Dan Jip Terima Tambahan Kuota 100 Liter appeared first on Borak Daily.