Kuota asas diesel bersubsidi 200 liter sebulan mulai 1 Julai

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 7:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kuota asas diesel bersubsidi 200 liter sebulan mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan menetapkan kuota asas 200 liter diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi mekanisme BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula 1 Julai ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keputusan itu dibuat susulan semakan yang dijalankan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

“Berdasarkan statistik yang ada, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan.

“Kelayakan ini boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar penerima sama ada untuk membeli diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kuota bulanan yang masih ada,” katanya ketika taklimat mengenai subsidi diesel di Putrajaya, hari ini seperti dilapor The Star.

Menurut beliau, pelaksanaan mekanisme harga diesel bersubsidi di seluruh negara akan menggunakan sistem berasaskan MyKad, sama seperti pelaksanaan BUDI95.

Pada masa sama, katanya, kerajaan turut membenarkan pemilik jip atau pikap yang memenuhi syarat untuk memohon kuota tambahan sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

“Pemohon mestilah pemilik kenderaan diesel persendirian yang didaftarkan atas nama sendiri serta memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan yang sah.

“Kuota itu dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara ditetapkan pada RM2.10 seliter, termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sebelum ini menikmati harga RM2.15 seliter.