Pembaharuan penyasaran subsidi diesel: Pemilik pikap, jip boleh mohon tambahan 100 liter

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 7:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pembaharuan penyasaran subsidi diesel: Pemilik pikap, jip boleh mohon tambahan 100 liter
Amir Hamzah ketika menjawab pertanyaan media pada Sidang Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Isnin. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA - Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di seluruh negara yang layak boleh mula mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kuota liter kelayakan tambahan sebanyak 100 liter, susulan pengumuman pembaharuan penyasaran subsidi diesel.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif tersebut menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori tersebut.

"Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh mengemukakan permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui laman sesawag Budi Madani yang sama mulai hari ini (Isnin), selain permohonan boleh dibuat secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC)," katanya dalam Sidang Akhbar Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Bangunan Perbendaharaan di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembaharuan penyasaran subsidi diesel: Kerajaan jimat sehingga 2 bilion setahun

Menurutnya, pendekatan itu bagi memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka, tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan diesel atau RON95.

Katanya, ia juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing.

“Berdasarkan data perangkaan, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan. Justeru, had kelayakan asas sebanyak 200 liter ini dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.

“Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel mengguna kurang daripada 300 liter sebulan. Kemudahan tambahan kelayakan ini disediakan untuk membantu keperluan tambahan terutamanya golongan peniaga PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan juga mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata, di bawah mekanisme itu, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas hingga 200 liter sebulan dan had kelayakan itu boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan pengguna bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.

“Kelayakan 200 liter itu sama seperti RON95, ia boleh dikongsi antara diesel dan petrol. Maksudnya, sesiapa yang mempunyai kenderaan RON95 dan diesel, mereka boleh mendapat 200 liter di bawah Budi Madani," katanya.

Tambah beliau, bagi pemilik kenderaan diesel yang sebelum ini tidak boleh membeli minyak subsidi, mereka kini boleh menggunakan kuota 200 liter yang sama.

"Kita buka kunci yang ada itu, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih sama ada mahu menggunakannya untuk RON95 atau diesel.

“Kita juga faham bahawa jika dilihat daripada penggunaan diesel di dalam negara, mungkin terdapat sedikit perbezaan jika dilihat adalah dari segi jenis penggunaan kenderaan.

Jelasnya lagi, kebanyakan kenderaan diesel di negara ini digunakan untuk perniagaan kecil, kadang-kadang perniagaan tersebut tidak berdaftar, sebaliknya dimiliki oleh individu yang melakukan perniagaan sambilan atau menjaja.

“Kita merasakan mereka mungkin memerlukan kelayakan kuota yang lebih sedikit daripada 200 liter ini. Kita juga faham situasi di kawasan pedalaman di mana jarak pergerakan mereka kadang-kadang lebih jauh berbanding kawasan lain.

"Jadi khusus untuk pemilik kenderaan diesel sahaja, kita memberikan peluang untuk mereka memohon kelayakan tambahan sebanyak 100 liter sebulan, namun mereka perlu mengemukakan permohonan,” katanya.

Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, beliau berkata, kemudahan Budi Diesel untuk membeli bahan bakar pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman melalui kerjasama antara kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan termasuk diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan, Budi Agri-Komoditi untuk petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar, SKDS 1.0 (Skim Kawalan Diesel Bersubsidi) pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi diesel itu dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 700,000 pengguna di seluruh negara merangkumi kira-kira 400,000 pengguna di Semenanjung serta 300,000 pengguna di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, bagi penerima sedia ada Budi Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak dengan penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu ini secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.

Di samping itu, katanya, SKDS turut diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak untuk membolehkan sekitar 70,000 kenderaan komersial yang layak terutamanya kenderaan pengangkutan barangan pengguna untuk menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui penggunaan fleet card syarikat minyak.