Budi Diesel mesti adil, telus dan tidak bebankan rakyat: PH Sabah

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 4:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Budi Diesel mesti adil, telus dan tidak bebankan rakyat: PH Sabah

Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa Kerajaan memastikan pelaksanaan Budi Madani Diesel di Sabah dilaksanakan secara telus, adil dan tidak membebankan rakyat.

Ketua Penerangan PH Sabah Datuk Chan Foong Hin (gambar) berkata pada dasarnya gabungan itu menyokong usaha reformasi subsidi menerusi pendekatan yang lebih bersasar dan telus, yang mampu mengurangkan ketirisan sekali gus memastikan bantuan kerajaan dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

“Kami mengalu-alukan pelaksanaan Budi Madani Diesel yang akan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara melalui penggunaan MyKad mulai 1 Julai. Namun, Kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya di Sabah dilakukan secara telus, adil dan tidak membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata penjimatan hasil reformasi subsidi itu juga perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan bersasar, perlindungan kos sara hidup serta penambahbaikan perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, kejayaan pelaksanaan dasar ini tidak boleh diukur hanya melalui penyeragaman sistem semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan impak sebenar terhadap kehidupan rakyat Sabah serta sejauh mana ia mampu disesuaikan bagi meringankan cabaran sara hidup masyarakat di negeri ini.

“Rakyat Sabah amat bergantung kepada pengangkutan darat jarak jauh, logistik antara daerah, penggunaan kenderaan diesel persendirian, bot sungai serta penggunaan generator di kawasan pedalaman,” katanya.

Chan berkata PH Sabah turut menghargai penglibatan aktif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang bersama-sama mengetuai sesi penerangan mengenai pelaksanaan dasar berkenaan.

Menurutnya, sebagai wakil dari Sabah yang memahami realiti ekonomi dan geografi negeri ini yang berbeza daripada Semenanjung, peranan Armizan amat penting dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat mengimbangi pertimbangan fiskal di samping melindungi kepentingan pengguna serta kestabilan harga di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa beberapa perkara diberi perhatian serius bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjalan lancar.

Katanya, peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu dipantau rapi supaya tidak berlaku gangguan bekalan atau kelewatan dalam proses pendaftaran yang boleh menjejaskan pengguna dan peniaga.

Selain itu, beliau berkata mekanisme peningkatan kuota bagi pengguna diesel di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu dilaksanakan secara fleksibel serta mesra rakyat memandangkan corak penggunaan di Sabah adalah berbeza dan melibatkan perjalanan yang lebih jauh.

Chan turut menggesa KPDN bersama agensi berkaitan memperhebat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap perubahan mekanisme subsidi sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan atau caj pengangkutan secara tidak munasabah.

Beliau juga menekankan kepentingan memperkukuh saluran bantuan dan aduan termasuk di kawasan luar bandar supaya rakyat tidak menghadapi kesukaran untuk mengakses sistem baharu yang diperkenalkan.

Sementara itu, Chan berkata PH Sabah mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk mengekalkan subsidi bagi sektor strategik seperti nelayan, pekebun kecil dan pengangkutan awam, selain memperluaskan akses kepada pengusaha bot sungai serta pengguna generator di kawasan pedalaman.

“Reformasi subsidi bukan sekadar mengenai penjimatan fiskal. Ia mesti menjadi instrumen untuk membina sistem yang lebih adil, mengurangkan ketirisan dan pada masa yang sama menjaga kebajikan rakyat, khususnya rakyat Sabah yang mempunyai keperluan serta cabaran tersendiri,” katanya.

Beliau berkata PH Sabah akan terus memainkan peranan secara konstruktif bersama Kerajaan Madani bagi memastikan pelaksanaan dasar terbabit benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved