Pelaksanaan subsidi diesel perlu ambil kira realiti rakyat Sabah

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 4:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pelaksanaan subsidi diesel perlu ambil kira realiti rakyat Sabah

SANDAKAN: Cadangan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh Kerajaan Persekutuan mungkin kelihatan lancar di atas kertas namun realitinya boleh membawa kesan besar kepada kehidupan harian rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong.

Beliau berkata keyakinan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa pelaksanaan subsidi diesel bersasar tidak akan memberi kesan kepada rakyat Sabah adalah satu andaian yang tidak mengambil kira cabaran sebenar rakyat dihadapi negeri ini.

Menurut Calvin, Sabah mempunyai landskap ekonomi dan geografi yang berbeza berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung di mana kos pengangkutan dan logistik memainkan peranan besar dalam menentukan harga barangan serta kos kehidupan rakyat.

“Apabila melibatkan diesel kesannya bukan hanya kepada pengguna kenderaan.

“Ia akan memberi impak kepada keseluruhan rantaian ekonomi termasuk pengangkutan, penghantaran bekalan, harga makanan dan kos operasi perniagaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat di kawasan pedalaman dijangka menerima kesan paling ketara kerana bergantung kepada pengangkutan darat dan sungai untuk mendapatkan bekalan keperluan harian.

Bagaimanapun menurutnya penduduk bandar seperti di Sandakan juga tidak terkecuali daripada tekanan tersebut memandangkan kos sara hidup yang sedia tinggi terus meningkat sejak kebelakangan ini.

Calvin turut mempersoalkan kebergantungan kerajaan terhadap sistem digital dan penggunaan MyKad sebagai mekanisme utama pelaksanaan subsidi.

Menurutnya masih terdapat ramai rakyat Sabah yang berdepan masalah capaian internet yang lemah, kekurangan kemahiran digital serta kesukaran mengakses sistem dalam talian, terutama di kawasan luar bandar.

“Tidak adil untuk menganggap semua rakyat berada pada tahap kesiapsiagaan digital yang sama sedangkan jurang digital di Sabah masih wujud dan belum ditangani sepenuhnya,” katanya lagi.

“Golongan nelayan, petani, pengusaha kecil dan pemain industri logistik berisiko menanggung kos operasi yang lebih tinggi sekiranya akses kepada subsidi diesel menjadi lebih ketat.

“Pada akhirnya kenaikan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna. Yang paling terkesan ialah rakyat biasa yang sudah bergelut dengan peningkatan kos kehidupan harian,” jelasnya.

Beliau menegaskan sebarang reformasi subsidi perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan melibatkan perundingan menyeluruh bersama Kerajaan Negeri serta wakil rakyat tempatan yang lebih memahami keadaan di lapangan.

“Sabah bukan sekadar satu statistik dalam pelaksanaan dasar nasional.

“Negeri ini mempunyai realiti ekonomi dan sosial yang unik yang perlu difahami dan dihormati,” katanya.

Sehubungan itu Calvin menggesa Kerajaan Persekutuan agar tidak terlalu bergantung kepada kejayaan program bantuan terdahulu sebagai jaminan bahawa pelaksanaan subsidi diesel bersasar kali ini akan berjalan tanpa menjejaskan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved