
Tujuh tahun membina nama dalam industri, pelakon, Qistina Khaled mengakui perjalanannya untuk bertahan tidak mudah memandangkan bakat bukan lagi ukuran utama untuk kekal menyerlah.
Bagi Qistina, landskap industri lakonan hari ini jauh lebih mencabar apabila seseorang anak seni bukan sahaja perlu meyakinkan menerusi lakonan, bahkan turut dinilai berdasarkan rupa paras dan jumlah pengikut di media sosial.
“Cabaran menjadi pelakon sekarang adalah bagaimana kita mahu sentiasa mengubah karakter, diri dan penampilan. Kalau bercakap mengenai industri hari ini, netizen bukan lagi melihat 100 peratus kepada lakonan.
“Mereka juga melihat berapa ramai pengikut media sosial kita, bagaimana penampilan kita dan perkara-perkara lain yang sebenarnya tidak begitu penting dalam dunia lakonan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Enggan bersaing secara tidak sihat, pelakon berusia 22 tahun itu nekad untuk menempa nama dalam industri dengan usaha keras sendiri, selain mahu bakatnya disedari umum.
“Cabaran saya adalah bagaimana mahu membuatkan orang nampak bahawa saya berada dalam industri ini bukan kerana mahu mengejar populariti, tetapi kerana minat dan jiwa saya.
“Saya sudah lama berada dalam industri, cuma untuk watak besar yang benar-benar membuatkan orang nampak dan mengenali saya, belum lagi. Kebanyakan orang masih menganggap saya baru dalam industri.
“Saya sebenarnya mula berlakon sejak kecil, cuma ketika itu saya bukan pelakon kanak-kanak yang terkenal. Apabila mula mendapat beberapa watak pembantu, barulah orang mula mengenali saya sedikit demi sedikit.
“Saya tidak mahu orang fikir begitu tentang saya. Saya mahu orang kenal saya memang bermula daripada kosong, bukan kerana pengikut media sosial, kandungan atau isu yang tular. Saya benar-benar bermula daripada kosong sehingga ke tahap sekarang,” kongsinya.
Bagaimanapun, Qistina tidak menafikan seseorang pelakon hari ini seolah-olah perlu tampil dalam ‘pakej’ tertentu untuk terus bersaing, terutama apabila berdepan kemasukan wajah-wajah baharu daripada platform media sosial.
“Kadang-kadang bukan bakat sahaja yang dilihat, tetapi penampilan. Itu salah satu cabaran sebenarnya.
“Kita perlu nampak sempurna dan pada masa sama perlu bersaing dengan pempengaruh yang lebih mudah masuk ke dalam industri kerana mempunyai ramai pengikut. Mahu atau tidak, kita perlu berdepan dengan keadaan itu,” katanya.

Kontroversi Bukan Jalan Pintas Untuk Popular
Jika jumlah pengikut menjadi antara ‘mata wang’ baharu industri, kontroversi pula sering dianggap jalan paling pantas untuk membuatkan nama seseorang disebut.
Tidak dinafikan, dia juga pernah ‘dihasut’ untuk cetuskan kontroversi untuk meraih populariti dalam dunia seni, namun Qistina memilih untuk kekal dengan prinsipnya demi menjaga imej dan nama baiknya.
“Memang banyak ‘hasutan’ dalam industri ini. Ada yang kata perlu ada kontroversi sikit, buat orang fikir saya sedang menjalin hubungan cinta atau mengubah cara pemakaian supaya lebih dikenali. Memang ada orang yang memberikan cadangan seperti itu.
“Tetapi bagi saya, perkara sebegitu tidak akan bertahan lama. Daripada orang kenal saya kerana cara pemakaian atau kisah peribadi, lebih baik mereka kenal saya dari drama yang saya bintangi.
“Bagi saya, perkara itu akan kekal lebih lama berbanding kontroversi yang mungkin hanya tular selama seminggu, kemudian orang sudah lupa. Setakat ini, Alhamdulillah, saya belum ada kontroversi atau cerita panas,” jelasnya.
Dalam mengejar kemajuan kerjaya, Qistina juga tidak mahu terlalu terburu-buru memburu pengiktirafan termasuk anugerah kerana mahy mengumpul pengalaman dan memperkukuhkan kemampuan sebelum memikirkan tentang trofi.
“Saya tidak terlalu mengejar anugerah. Bagi saya, anugerah bukan perkara kecil. Ada orang mengambil masa berpuluh tahun sebelum mendapat pengiktirafan.
“Saya baru tujuh tahun dalam industri. Kalau boleh, apabila saya mendapat sesuatu anugerah nanti, saya sendiri mahu merasakan bahawa saya sudah sampai ke tahap tertentu dan benar-benar layak menerimanya.
“Saya mahu apabila menerima anugerah nanti, kemenangan saya itu nanti menjadi bualan orang yang menilai kelayakan saya berdasarkan bakat dan pengalaman selama bertahun-tahun dalam industri. Buat masa ini, saya lebih mahu mengejar pengalaman dalam industri terlebih dahulu,” ujarnya.
The post Bukan bakat sahaja yang dilihat, penampilan lebih mencabar – Qistina Khaled appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Anwar puji sambutan kemerdekaan, sifatkan persembahan terbaik](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/hari-kebangsaan-putrajaya-1024x683.jpeg)


