![Image from: [VIDEO] Anwar puji sambutan kemerdekaan, sifatkan persembahan terbaik](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/hari-kebangsaan-putrajaya-1024x683.jpeg)
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penganjuran Hari Kebangsaan 2026 yang diadakan di Dataran Putrajaya di sini hari ini dengan menyifatkan persembahan yang ditampilkan lebih 10,819 peserta sebagai yang terbaik.
Komitmen hebat ditampilkan keseluruhan peserta itu bukan sahaja berjaya menuai pujian Perdana Menteri, malah turut mencerminkan semangat patriotisme dan kebanggaan terhadap negara sempena kemerdekaan yang diraikan pada hari ini.
“Alhamdulillah, persembahan yang baik. Terima kasih banyak. Hebat, hebat,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Anwar turut mencipta kelainan apabila berjalan lebih 500 meter bagi menyantuni pengunjung yang hadir bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan sambutan tahun ini sebagai luar biasa dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tahun ini luar biasa. Sambutannya lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini menunjukkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Alhamdulillah,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati itu menampilkan perbarisan dan perarakan penuh warna-warni membabitkan 10,819 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta.
Sambutan itu turut menampilkan 77 kontinjen, 22 pancaragam, 328 aset darat dan udara, 112 haiwan dalam perkhidmatan serta 11 kenderaan berhias. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Anwar puji sambutan kemerdekaan, sifatkan persembahan terbaik appeared first on Kosmo Digital.





