Bukan bodoh tapi waspada

LocalPolitics
13 May 2026 • 7:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bukan bodoh tapi waspada
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki (tengah) mengucapkan selamat tinggal kepada warga SPRM pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM pada Selasa.

SEBURUK mana kecaman ke atas mana-mana ketua agensi, Awang yakin bukan atas dasar bodoh. Tiada siapa yang pertikai tindakan penguat kuasa.

Tapi teguran adalah atas prinsip sayangkan pemimpin dan agensi berkenaan. Apatah lagi agenda macam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Awang faham ada masanya teruk juga Tan Sri Azam Baki dapat kecaman pelbagai pihak termasuk mendesaknya berundur. Tapi Awang yakin bukanlah disebabkan perjuangannya melawan perasuah dan mereka yang salah laku.

Tak ada siapa yang persoal apa yang Azam buat semasa menerajui SPRM. Beliau antara lain berjaya bawa balik tak kurang RM31 bilion duit 1MDB yang diselewengkan.

Beliau juga dengan berani siasat siapa sahaja termasuklah orang yang melantik beliau sebagai Pesuruhjaya SPRM. Maknanya dia tak pilih bulu.

Memang beliau 'kerja baik' kalau ikut kata Tuk Seri PMX. Tapi alasan kerja baik sahaja belum cukup. Beliau juga kenalah ikut peraturan macam penjawat awam yang lain.

Cacatnya Azam bukan kerja baik, keberanian dan dedikasinya tapi soal peribadi yang boleh beliau jelaskan dengan jujur dan mudah misalnya dalam soal pemilikan saham yang heboh itu.

Kita ucap terima kasih pada Azam. Orang akan pasti nilai legasi beliau di SPRM.