
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dipercepatkan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat tahun hadapan.
‘Gesaan Segerakan PRU16 Adalah Kehendak Rakyat’ – Ahmad Zahid
Menurut Timbalan Menteri itu, mandat perlu dipulangkan semula kepada rakyat selain menegaskan bahawa parti diterajuinya, yakni UMNO bersedia berdepan lawan politik di medan PRU16.
Jelasnya, gesaan menyegerakan proses PRU16 ini adalah kehendak rakyat Malaysia sendiri.
“Ini bukan desakan mahupun harapan, tetapi ini adalah kehendak rakyat. Cukup-cukuplah, beri peluang kepada kami pula.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang hendak lawan, kita lawan. Walaupun DNA kita memimpin, kemenangan tidak datang bergolek, selain perlu memahami strategi dan realiti persekitaran semasa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 pada hari ini (11 September).
Ahmad Zahid Beri Bayangan UMNO Bentuk Kerjasama Strategik Dengan Parti Lain Untuk PRU16
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memberi bayangan bahawa gabungan itu mungkin melalui perubahan susulan kemungkinan kerjasama strategik dengan parti tertentu.
Jelasnya, situasi itu akan berlaku apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’, sekaligus membawa perubahan kepada ‘warna’ asal parti terbabit. Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam ucapannya tidak menyebut mana-mana parti atau gabungan politik.
Rumah Bangsa Sentiasa Terbuka Kepada Semua Bekas Ahli – Ahmad Zahid
Ahmad Zahid menegaskan bahawa Rumah Bangsa yang digagaskan UMNO sentiasa terbuka kepada semua bekas ahli parti tersebut. Ini termasuklah pihak yang pernah kecewa, menjadi musuh atau menjauhkan diri sebelum ini.
Menurutnya, Rumah Bangsa bertujuan menghimpunkan keluarga besar UMNO bagi meneruskan perjuangan parti yang tidak pernah terhenti.
“Bagi yang pernah membakar jambatan, bagi yang dirikan tembok perbezaan dan pondok baharu untuk teduhan, tidak mengapa, kembalilah.
“Jambatan boleh kita sambungkan, tembok boleh kita runtuhkan dan pondok boleh kita tinggalkan. Rumah UMNO ini adalah tempat untuk kalian semua kembali,” katanya.
Cadangan Percepat PRU16 Akan Diteliti – Anwar Ibrahim
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti desakan beberapa pihak untuk mengadakan PRU16 lebih awal. Bagaimanapun jelas beliau, keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat masih menjadi fokus utama buat masa ini.
“Cadangan saya boleh teliti tapi untuk memutuskan itu, saya akan fikir dulu, dan kemudian saya akan persembah kepada Agong (Sultan Ibrahim).
“Sekarang ini, fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat dan fokus untuk membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan amalan sakau.
“Bagi saya, fokus ini yang penting. Keadaan yang ada sekarang, kerajaan masih stabil, kita tumpu yang ini,” kata beliau.
‘Tak Ada Keperluan Adakan PRU16 Awal Selagi Anwar Dapat Sokongan Majoriti Di Dewan Rakyat’ – Anthony Loke
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak bersetuju dengan perkara itu selain menyeru Anwar agar tidak tunduk kepada gesaan membubarkan Parlimen lebih awal.
“Pendirian kita, selagi Anwar mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada keperluan untuk tunduk kepada mana-mana tekanan bagi mengadakan PRU16.
“Kita juga gesa, berharap dan sokong Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk terus terajui kerajaan hingga akhir tempoh Parlimen Penggal Ke-15,” kata Loke.






