
KUALA LUMPUR – UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan segera bagi memberi ruang kepada parti itu kembali mendapatkan mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU16 merupakan detik penentuan buat UMNO untuk membuktikan bahawa parti itu bukan sekadar pelengkap kepada kerajaan.
Menurut beliau, Gelombang Biru yang dibawa UMNO perlu diterjemahkan kepada usaha mendapatkan semula mandat rakyat.
“PRU-16 adalah detik penentuan bagi kita mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
“Justeru, telah tiba masanya PRU-16 perlu segera diadakan. Setuju?” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu berani membaca perubahan politik selepas parti itu kehilangan penguasaan di Putrajaya pada 2018.
Katanya, kekalahan tersebut tidak berlaku secara tiba-tiba kerana sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan trend kemerosotan sejak 2008 apabila gabungan itu kehilangan majoriti dua pertiga.
“Parti yang mahu bangkit tidak boleh hanya menyalahkan orang lain. Kita harus sedar, selalunya kejatuhan tidak bermula ketika kita kalah.
“Sebaliknya, ia bermula apabila kita terlalu yakin yang kita tidak akan pernah kalah,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman lapan tahun selepas kejatuhan itu mengajar UMNO bahawa parti berkenaan tidak boleh membeku pada satu pendekatan ketika realiti politik berubah dengan pantas.
“Daripada pemerintah kepada pembangkang. Daripada dominan kepada berkongsi kuasa.
“Kita memasakkan semula erti perjuangan, rapatkan saf dan pulihkan keyakinan. Kini masanya untuk kita mencipta semula kemenangan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post PRU16 perlu segera, UMNO mahu kembali terajui Putrajaya appeared first on Kosmo Online.






