
PERSONALITI media sosial Farah Lee meluahkan perasaan sayu selepas menghantar anak tunggalnya, Maream Esabel ke sebuah sekolah berasrama selepas enam tahun mengikuti persekolahan di rumah (homeschooling).
Berkongsi detik-detik hari pendaftaran yang turut dihadiri bekas suami, Ally Iskandar, Farah memilih aliran antarabangsa International General Certificate of Secondary Education atau (IGCSE) untuk Maream.
"Selepas enam tahun belajar di rumah dan belajar melangkaui dunia (world-schooling), saya percaya Maream kini sudah bersedia untuk persekitaran pembelajaran yang lebih terstruktur.
"Dia bakal melangkah ke Tingkatan Satu dengan kurikulum IGCSE, yang mana dia telah diperkenalkan secara santai sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
"Dia telah melalui pelbagai kelonggaran dalam hidup dan kini tiba masanya untuk dia mempelajari sesuatu yang lebih kukuh. Kerana Islam itu wasatiyyah iaitu mencari keseimbangan dalam cara kita hidup," kongsinya.
Umum mengetahui hubungan akrab dua beranak ini, namun pemilik nama sebenar Nurfarahin Romli, 37, mengakui keputusan menghantar anaknya ke sekolah berasrama bukanlah satu perkara yang mudah.
Bagaimanapun, dia yakin Maream mampu menyesuaikan diri dengan cepat.
"Kenapa sekolah berasrama? Sebenarnya, dengan kerjaya saya dan situasi situasi pengurusan keibubapaan secara tunggal, menghantarnya ke sekolah dan menguruskan perjalanan berulang-alik setiap hari bukanlah sesuatu yang praktikal untuk kami.
"Jadi apabila saya menemui sekolah ini yang mana kepulangan ke rumah pada hujung minggu digalakkan, rasa sangat sesuai untuk keluarga kecil kami. Dia mendapat kehidupan persekolahan yang terstruktur. Kami tetap dapat meluangkan hujung minggu bersama atau di rumah ayahnya apabila Omma berada di luar negara," jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai peribadi anak kesayangannya itu, Farah mendedahkan Maream sebenarnya seorang anak yang matang dan berdikari, walaupun saat perpisahan itu tetap melahirkan rasa berat hati buat mereka berdua.
"Maream sebenarnya seorang yang sangat berdikari, sudah biasa berjauhan setiap kali saya travel, dan sentiasa teruja untuk bermalam di luar (sleepover). Namun, hari pertama di tempat baharu, dengan wajah-wajah baharu, persekitaran baharu dan suasana baharu - untuk jangka masa yang lebih lama… bukanlah sesuatu yang mudah. Ia juga bukan mudah untuk Omma.
"Selain akademik, saya berharap agar dia dapat memperkukuhkan sahsiah, adab dan akhlaknya - untuk menjadi khalifah yang terbaik di dunia ini, dan menjadi asbab untuk orang lain semakin mendekatkan diri kepada akhirat.
"Tolong doakan untuk Maream. Semoga ALLAH memberikan dia keselesaan dan kemudahan, serta memeliharanya agar sentiasa selamat dan sejahtera. ALLAH sebaik-baik penjaga dan pelindung," kongsinya.
Sekadar info, Farah pernah berkahwin dengan dengan personaliti televisyen, Ally Iskandar pada Januari 2012 dan berpisah pada Ogos 2016.
Farah kemudian bernikah kali kedua dengan atlet kuda lasak, Mohamad Fuad Hashim pada 5 Januari 2024.




