Bukan mudah mencari rakan sejati politik

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bukan mudah mencari rakan  sejati politik

TERMOMETER politik negara kembali membahang semasa dan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini.

Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO telah mengundang persoalan apakah hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat ‘retak menanti belah’.

Malah ucapan penggulungan beliau sebelum perhimpunan UMNO melabuhkan tirai sekali lagi penuh dengan kiasan dan sindiran mengenai hala tuju parti selepas ini.

Meskipun Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih berbaki kira-kira 14 bulan lagi, namun suasana kini seolah-olah menunjukkan setiap parti politik telah mula melakukan pelbagai persiapan rapi bagi menghadapinya.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila Melaka bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri pada bila-bila masa bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas rakyat membuat keputusan di Johor dan Negeri Sembilan.

Malah dikatakan Sarawak juga perlu mengadakan PRN apabila mencapai genap lima tahun tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 18 Disember ini yang pasti mengheret bahang politik ke tahun depan.

Suatu yang menarik dalam membicarakan mengenai hala tuju politik negara ialah setiap parti pada masa kini perlu mencari rakan gandingan lebih awal.

Hal ini memandangkan selepas PRU14 pada 2018, tiada lagi parti yang dominan dan mampu membentuk kerajaan tanpa sokongan parti lain.

Bertolak dari sinilah, setiap parti akur mereka perlu mempunyai rakan gandingan jika mahu memenangi pilihan raya sekali gus membentuk kerajaan.

Oleh kerana rekod perjalanan politik negara yang tidak begitu baik berdasarkan kepada beberapa insiden sehingga istilah ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ menjadi begitu popular, rakan gandingan diperlukan lebih awal sebelum DUN atau Parlimen dibubarkan.

Mencari rakan gandingan politik pula bukan mudah memandangkan kempen yang dilakukan oleh parti-parti politik sangat membekas di hati penyokong masing-masing.

Jika para pemimpin boleh berpelukan dan bertepuk tampar dalam sekelip mata, penyokong khususnya di peringkat akar umbi perlu mengambil masa yang lebih lama untuk membentuk keserasian antara satu sama lain.

Memilih dan menilai rakan gandingan politik juga penuh dengan percaturan untung rugi serta pengorbanan yang bukan sedikit. Bermula dengan rundingan pembahagian kerusi, penyusunan gerak kerja dan yang paling besar ialah mengatur perjawatan jika menang.

Namun, suatu yang paling sukar untuk menilai ialah sejauh mana keikhlasan dan kesetiaan rakan gandingan itu dalam pembentukan rakan gandingan politik.

Apapun yang bakal berlaku, suatu yang penting dalam dinamik politik ini ialah rakyat perlu menggunakan kuasa dengan sebaik mungkin semasa membuat pilihan demi masa depan dan kesejahteraan mereka sendiri.

The post Bukan mudah mencari rakan sejati politik appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved