
SIAPA yang tidak kenal dengan personaliti lemah lembut, Datin Seri Wong Mew Choo. Sejak mendirikan rumah tangga dengan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, tumpuan utamanya pastinya terhadap keluarga dan membesarkan anak-anak tersayang.
Namun, baru-baru ini kehadiran bekas pemain perseorangan wanita negara itu mencuri perhatian ramai apabila diumumkan sebagai duta jenama penjagaan kulit profesional, I Mishang.
Menariknya, majlis pelancaran produk di bawah naungan AI SEE LIFE itu menjadi lebih bermakna apabila suami tersayang, Chong Wei membuat kejutan ulang tahun buat isteri tercinta di hadapan tetamu yang hadir.
Mew Choo mengakui, keputusannya menerima tawaran ini bukan kerana nilai komersial semata-mata, sebaliknya tertarik dengan misi sosial yang diperjuangkan jenama berkenaan.
"Selama ini saya hanya memberi fokus kepada keluarga dan anak-anak dan hampir tidak terlibat dalam sebarang tawaran komersil.
"Bukan kerana wang saya terima tawaran ini, cuma kali ini berbeza kerana nilai dan tanggungjawab yang produk dan syarikat ini tampilkan," kongsinya dengan jujur.

Beliau menyedari bahawa penglibatannya kali ini mampu memberi makna besar kepada komuniti yang memerlukan.
"Saya difahamkan melalui produk ini mereka akan melakukan banyak perkara bermanfaat untuk membantu masyarakat terutamanya menyediakan latihan percuma dan membantu ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan pekerjaan.
"Itu sebabnya, buat pertama kalinya saya bersetuju menjadi duta produk ini memandangkan penglibatan saya ini dapat memberi makna kepada orang lain," tambahnya lagi.
Membantu ibu tunggal & OKU
Ketua Pegawai Eksekutif I Mishang, Sheri Yap menjelaskan, jenama itu bukan sekadar tentang kecantikan wajah, tetapi satu sistem peningkatan gaya hidup yang menyeluruh.
Beliau menekankan syarikat sangat komited dalam memikul tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan ibu tunggal dan OKU menjana pendapatan sendiri.
"Selagi mereka sanggup belajar dan rajin berusaha, syarikat bersedia melatih mereka menjadi pakar kecantikan profesional, menyediakan peluang pekerjaan yang stabil, serta membantu menjana pendapatan yang lumayan.
"I Mishang bukan sekadar untuk penjagaan kulit, tetapi sistem peningkatan menyeluruh dari kulit hingga merangkumi gaya hidup seseorang," kata Sheri Yap.
Produk tersebut juga sangat sesuai dengan kulit rakyat Malaysia kerana fokusnya kepada hidrasi ringan dan penjagaan kulit sensitif tanpa bahan terlarang seperti hormon atau logam berat.

Apa yang lebih meyakinkan, syarikat ini tidak mengamalkan sistem tambah nilai atau pakej pembelian wajib, sekali gus memastikan setiap sen yang dibelanjakan pengguna benar-benar untuk penjagaan diri mereka.
Majlis yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang itu turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk YM Sharifah Wani Jamalullail, YM Tunku Dayang Adelene Bahjah serta selebriti popular Emma Maembong.
Turut kelihatan memberi sokongan ialah Nancy, Cisee Tan, Standi Yap, Datuk Joe Lee dan Datin Win Lock yang bersama-sama meraikan kejayaan jenama ini melebarkan sayap di Malaysia setelah 12 tahun beroperasi di China.



