Bukan tidak mampu tetapi ego, dendam

Family & Parenting
18 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bukan tidak mampu tetapi ego, dendam

Perceraian mungkin menamatkan hubungan suami isteri, namun ia tidak pernah memutuskan tanggungjawab seorang bapa terhadap anak terutama dalam soal pemberian nafkah.

Malangnya, masih ada segelintir lelaki yang culas melaksanakan kewajipan itu selepas rumah tangga berakhir, sama ada di­sebabkan masalah kewa­ngan, pertambahan komitmen selepas berkahwin semula mahupun kon­flik yang berlarutan dengan bekas pasangan.

Lebih membimbangkan, pertikaian mengenai hak penjagaan dan akses bertemu anak kadangkala menyebabkan nafkah dijadikan ‘senjata’ untuk membalas dendam, termasuk sengaja melewatkan bayaran, membayar tidak mengikut jumlah diperintahkan atau terus mengabaikannya.

Bersama Wartawan ­Kosmo! Ahad, Nurul Izzati Zaini menemu bual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang bagi mengupas punca di sebalik keculasan nafkah, hak bekas isteri dan anak serta sejauh mana undang-undang sedia ada mampu memastikan ­perintah mahkamah benar-benar dipatuhi.

Image from: Bukan tidak mampu tetapi ego, dendam
Musa

KOSMO! AHAD: Berdasarkan kes-kes syariah yang dikendalikan, apakah punca paling lazim lelaki culas atau gagal membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas bercerai?
MUSA: Punca culas nafkah gabungan antara sikap sengaja mengabaikan tanggungjawab dan sikap lepas tangan. Namun, berdasarkan pengalaman, kebanyakannya bukan semata-mata kerana tidak berkemampuan. Faktor lebih ketara ialah faktor psikologi dan konflik pasca perceraian, termasuk ego, dendam dan permusuhan antara bekas pasangan.

Ada perceraian disusuli pe­rebutan anak sehingga rasa dendam masih berterusan. Dalam keadaan tertentu, bekas suami mengaitkan nafkah anak dengan bekas isteri. Ada yang tidak mahu memberikan nafkah kerana bimbang wang tersebut digunakan bekas isteri untuk dirinya sendiri.

Faktor lain salah faham me­ngenai tanggungjawab. Apabila berlaku pertikaian hak lawatan atau jagaan anak, ada bekas suami menjadikannya alasan untuk tidak membayar nafkah. Ada yang masih membayar tetapi tidak mengikut jumlah atau ja­dual diperintahkan mahkamah. Ada yang membiarkan dua atau tiga bulan sebelum membayar sekali gus, atau membayar sedikit-sedikit untuk menyakitkan hati bekas pasangan.

Image from: Bukan tidak mampu tetapi ego, dendam
Perpisahan antara suami isteri lebih banyak memberi kesan psikologi mendalam kepada anak yang sedang membesar hingga boleh mempengaruhi kehidupan sehingga dewasa. – Gambar Janaan AI

Sejauh mana faktor kewa­ngan selepas membina keluarga baharu menjadi punca nafkah kepada keluarga terdahulu terabai?
Perkahwinan baharu boleh menyebabkan pertambahan komitmen kewangan. Selepas bercerai dan membina keluarga baharu, seorang lelaki mungkin mempunyai isteri dan anak baharu, keperluan rumah, kende­raan serta per­belanjaan lain.

Kadangkala harta dimiliki ketika perkahwinan terdahulu masih dalam pertikaian atau belum diselesaikan pembahagiannya. Dia juga mungkin perlu menyewa atau membeli kediaman lain untuk keluarga baharu.

Jika isteri baharu turut mempunyai anak, tanggungan bertambah selain anak daripada perkahwinan terdahulu. Ini boleh mengurangkan kemam­puan kewa­ngan seseorang, le­bih-lebih lagi jika pendapatan kekal pada kadar sama.

Namun, mempunyai keluarga baharu bukan alasan untuk berhenti membayar nafkah atau mengabaikan perintah sedia ada.

Jika benar tidak mampu, bekas suami sepatutnya memohon kepada mahkamah supaya kadar nafkah disemak atau dikurangkan. Dia tidak boleh mengambil keputusan sendiri untuk mengurang atau menghentikan bayaran.

Adakah konflik pasca perceraian seperti perebutan hak jagaan anak, tuntutan mutaah sering menjadi punca nafkah anak terjejas?
Berdasarkan pengalaman serta perkongsian ahli-ahli persatuan, unsur dendam dan kon­flik pasca perceraian agak ketara. Dendam mungkin beransur reda selepas setahun atau dua tahun, atau apabila masing-masing te­lah mempunyai kehidupan dan keluarga lain.

Namun, konflik pasca perceraian boleh berlanjutan kerana masih terdapat tuntutan lain di mahkamah seperti hadanah atau hak jagaan anak, mutaah dan harta sepencarian.

Apabila pertikaian lain masih berjalan, ia kadangkala memberi kesan kepada pembayaran nafkah walaupun perintah nafkah sudah pun dikeluarkan.

Tingkah laku seperti ini me­nunjukkan, dalam sebahagian kes isu berkenaan bukan sekadar ketidakmampuan kewangan, tetapi melibatkan konflik dan tindakan untuk menyusahkan bekas pasangan.

Apa cabaran terbesar yang dihadapi bekas isteri untuk menuntut nafkah tertunggak?
Adakala bekas suami tidak memberi kerjasama atau se­ngaja melambatkan proses. Ada juga bekas suami sukar dikesan selepas bercerai, tidak diketahui tempat tinggal atau tempat kerja.

Walaupun berjaya dikesan, prosiding mahkamah tidak semestinya selesai dalam satu hari. Terdapat proses penyerahan saman, jawapan, sebutan, perbi­caraan dan kemungkinan pe­nangguhan.

Sekiranya pihak terlibat boleh mencapai persetujuan melalui proses sulh, perkara itu mungkin dapat diselesaikan lebih cepat. Namun, beban terbesar kepada ibu apabila perlu berfungsi sebagai penjaga anak dan pada masa sama mencari pendapatan sendiri.

Apabila bekas suami tidak memberi nafkah, ibu terpaksa menanggung anak-anak menggunakan wang sendiri. Dalam kea­daan itu, masa untuk berulang-alik ke mahkamah ­terhad.

Ada ibu bekerja dengan gaji harian. Setiap kali perlu hadir ke mahkamah, dia perlu mengambil cuti dan kehilangan pendapatan. Apabila kes ditangguhkan beberapa kali, kos tersebut terus bertambah.

Akhirnya ada wanita membuat pertimbangan lebih baik masa itu digunakan untuk mencari wang daripada berulang-alik menuntut sesuatu yang belum pasti bila akan diperoleh.

Mengapa ada kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah mengambil masa lama hingga berlarutan bertahun-tahun?
Memang ada persepsi dalam kalangan masyarakat proses di Mahkamah Syariah mengambil masa terlalu lama hingga ada sesetengah kes bertahun-tahun.

Antara isu besar dalam proses mahkamah adalah penyerahan dokumen kepada defendan. Dalam Mahkamah Syariah, saman perlu diserahkan kepada orang berkenaan secara peribadi. Ia bukan semudah menghantar melalui pos atau e-mel.

Jika defendan berada di ne­geri lain, contohnya kes difailkan di Selangor tetapi bekas suami berada di Kedah, proses melalui mahkamah memerlukan bantuan mahkamah syariah ne­geri berkenaan bagi penyerahan dan laporan perlu dikembalikan.

Sekiranya laporan penyerahan belum diterima pada tarikh sebutan, kes mungkin ditangguhkan lagi. Jika dokumen sudah dise­rahkan dengan sempurna tetapi defendan masih tidak ha­dir, mahkamah mempunyai meka­nisme lain termasuk waran tangkap.

Selain itu, terdapat isu kekurangan hakim dan beban tugas. Hakim Mahkamah Syariah bukan sahaja mengendalikan kes tetapi turut terlibat dengan tugas pentadbiran, mesyuarat dan kursus.

Apabila hakim mempunyai komitmen tersebut, perbicaraan boleh ditangguhkan.

Justeru, saya berpandangan mekanisme bantuan guaman perlu diperluaskan supaya ibu tunggal boleh melantik peguam tanpa perlu hadir bagi setiap urusan. Melalui peguam, klien mungkin hanya perlu hadir ketika perbicaraan manakala urusan sebutan, tarikh atau penyerahan dokumen diuruskan peguam.

Di Malaysia terdapat program Bantuan Guaman Syarie dan bantuan guaman Kasihnita bersama Jabatan Pembangunan Wanita antara mekanisme membantu mengurangkan beban wanita.

Apa tindakan undang-undang boleh diambil apabila bekas suami mengingkari perintah nafkah mahkamah?
Langkah pertama mendapatkan perintah mahkamah terlebih dulu. Apabila perintah sudah wujud tetapi bekas suami cuai, culas atau langsung tidak membuat pembayaran, terdapat beberapa mekanisme penguatkuasaan.

Pertama, potongan gaji atau tahanan pendapatan. Jika bekas suami mempunyai majikan, sama ada penjawat awam atau bekerja dengan syarikat yang membayar gaji secara tetap, mahkamah boleh mengarahkan majikan membuat potongan gajinya setiap bulan. Wang ber­kenaan boleh disalurkan terus ke akaun bekas isteri atau anak jika bersesuaian.

Kedua, Saman Penghutang Penghakiman (SPP). Mahkamah boleh menentukan jumlah tunggakan dan memanggil pihak berhutang untuk menerangkan bagaimana tunggakan itu hendak diselesaikan, sama ada sekali gus atau ansuran.

Ketiga, penyitaan dan penjualan harta. Jika bekas suami mempunyai harta atas namanya seperti tanah atau rumah, bekas isteri boleh memohon kepada mahkamah supaya harta ber­kenaan disita dan dijual. Hasil jualan boleh digunakan untuk menjelaskan tunggakan nafkah.

Keempat, hiwalah atau pengambilan wang daripada akaun. Sekiranya bekas suami mempunyai wang dalam akaun bank, satu perintah boleh dipohon supaya sejumlah wang dalam akaun itu disalurkan bagi melunaskan tunggakan nafkah.

Kelima, komital atau penjara. Jika selepas diarahkan membayar seseorang masih enggan mematuhi perintah, prosiding komital boleh diambil.

Sejauh mana mekanisme penguatkuasaan se­perti sitaan wang harta dan potongan gaji benar-benar digunakan Mahkamah Syariah?
Mekanisme undang-undang sudah ada dan pada dasarnya kelihatan lengkap, tetapi masalah utama adalah pelaksanaan dan kerjasama pihak-pihak lain.

Bagi potongan gaji, pelaksa­naannya lebih mudah jika melibatkan jabatan kerajaan atau majikan yang mempunyai sistem dan memberikan kerjasama. Cabaran lebih besar timbul apabila ia melibatkan sektor swasta.

Terdapat persoalan undang-undang apabila Mahkamah Syariah mengeluarkan arahan kepada sebuah syarikat atau badan korporat yang bukan ‘orang Islam’ dalam pengertian biasa kerana sebuah syarikat ialah entiti perundangan atau artificial person dan tidak mempunyai agama.

Keadaan ini mewujudkan ruang (loophole) yang perlu diperjelaskan dari sudut undang-­undang.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mengadakan libat urus dengan institusi perbankan, Bank Negara dan pihak berkaitan supaya pe­nguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih lancar. Bagi saya, instrumen penguatkuasaan itu ‘cantik’ di atas kertas, tetapi masih terdapat beberapa hala­ngan pelaksanaan perlu diselesaikan agar benar-benar efektif.

Adakah terdapat anggaran atau jumlah tuntutan dan tunggakan nafkah termasuk bilangan kes yang belum di­selesaikan?
Tiada satu data nasional berpusat mendedahkan jumlah ke­seluruhan (agregat ringgit) tunggakan nafkah aktif belum selesai di Malaysia ketika ini.

Bagaimanapun, data rasmi Parlimen merekodkan seba­nyak 13,920 kes tunggakan nafkah melibatkan bekas isteri berjaya diselesaikan dalam tempoh 2020 hingga 2025. Penyelesaian ini digerakkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui kaedah perun­dingan mahu pun tindakan perundangan drastik.

Walaupun angka tertunggak nasional secara keseluruhan tidak diterbitkan secara terbuka, gambaran trend dikongsikan peguam syarie dan rekod mahkamah negeri menunjukkan situasi berikut.

Peningkatan aduan kes culas, sebagai contoh data peringkat negeri, Selangor merekodkan 1,189 aduan pelanggaran perintah nafkah dari tahun 2022 hingga Mei 2025, dengan trend graf menunjukkan peningkatan saban tahun (332 kes pada 2022, 391 pada 2023, dan 422 pada 2024).

Peguam syarie kerap mengendalikan kes individu, iaitu amaun tunggakan terkumpul bagi nafkah anak dan idah boleh mencecah dari puluhan ribu hingga RM1 juta bagi satu-satu kes, bergantung kepada tempoh pengabaian dan status sosioek­onomi pasangan.

Trend semasa m­enunjukkan peguam syarie dan BSK kini beralih kepada tindakan agresif sivil-syariah untuk memburu bekas suami culas. Ini termasuk permohonan perintah sita dan jual harta, penahanan pendapatan (potong gaji), sekatan akaun bank (hiwalah), serta komital (penjara).

Adakah undang-undang sedia ada mencukupi untuk menangani isu culas nafkah?
Secara asasnya banyak mekanisme undang-undang sudah tersedia, tetapi penguatkuasaan harus diperkasa dan beberapa masalah pelaksanaan perlu di­selesaikan.

Antara pembaharuan pernah dicadangkan supaya tuntutan nafkah anak boleh difailkan se­rentak ketika proses perceraian supaya perintah nafkah dapat diperoleh seawal mungkin.

Selain itu, Malaysia boleh melihat pengalaman Australia yang menggunakan mekanisme potongan gaji secara lebih langsung.

Di Malaysia, potongan gaji lazimnya menjadi tindakan susulan apabila seseorang sudah culas dan tunggakan telah berlaku.

Sebaliknya, satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah apabila mahkamah mengeluarkan perintah nafkah kepada seorang bapa yang mempunyai pekerjaan tetap, potongan gaji terus menjadi sebahagian daripada perintah sejak awal, tanpa perlu menunggu dia gagal membayar terlebih dulu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan pengoperasian sekolah di negeri itu akan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.

“Murid digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga. Ibu bapa atau penjaga yang bimbang akan tahap kesihatan anak-anak untuk hadir ke sekolah berikutan keadaan jerebu, boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Bagaimanapun, mereka hendaklah memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah,” menurut JPN Selangor dalam kenyataan hari ini.

The post Bukan tidak mampu tetapi ego, dendam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved