JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menegaskan, pihaknya bukan sekadar 'menyeru' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan kononnya segala usaha kerajaan negeri berhubung isu tersebut hanyalah 'wayang' merupakan satu fitnah yang perlu diperbetulkan.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung sektor kesihatan di Johor.
“Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu kesihatan di Johor.
“Kenyataan bahawa kerajaan negeri hanya tahu ‘menyeru’ KKM dan segala usaha yang telah dilakukan sekadar ‘wayang’ adalah satu fitnah yang perlu diperbetulkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri terpaksa menyuarakan tuntutan tersebut menerusi media dan media sosial kerana isu kekurangan perjawatan dalam sektor kesihatan telah dibangkitkan secara rasmi sejak tahun 2023.
Menurutnya, pada tahun lalu, pihak KKM turut menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan bersetuju untuk menyelesaikan isu perjawatan berkenaan.
“KKM telah bersetuju untuk mengisi segera kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai, selain menambah tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang.
“Namun sehingga kini, masalah kekurangan perjawatan yang membelenggu sektor kesihatan di Johor masih belum diselesaikan.
“Sebab itu saya terus menyuarakan tuntutan agar janji yang telah dibuat oleh KKM dapat dikotakan,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkara itu perlu dirujuk kepada KKM kerana kementerian berkenaan mempunyai kuasa terhadap urusan perjawatan petugas kesihatan di hospital-hospital bawah seliaannya.
“Apabila sekolah berdepan kekurangan guru, kerajaan negeri akan merujuk kepada Kementerian Pendidikan. Apabila berlaku kekurangan pegawai imigresen, perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.
“Begitu juga apabila hospital KKM berdepan kekurangan petugas kesihatan, sudah tentulah perkara itu perlu dibawa kepada KKM,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi mandat kepada KKM untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan mengikut keperluan fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menegaskan kerajaan negeri tidak hanya bertindak sebagai pemerhati atau pendesak sementara menunggu penyelesaian daripada KKM, sebaliknya mengambil pelbagai langkah mengikut kemampuan yang ada.
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk membiayai penempatan doktor locum di hospital utama seperti HSA dan HSI bagi membantu Jabatan Kecemasan mengurangkan tempoh menunggu pesakit selain meringankan beban petugas sedia ada.
“Kerajaan negeri turut menubuhkan Southern Volunteers Healthcare, menaik taraf lebih 460 bilik pantri di fasiliti kesihatan seluruh Johor bagi meningkatkan kebajikan petugas kesihatan, selain menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat secara pos.
“Kami juga memperluaskan kemudahan seperti Locker4U bagi mengurangkan keperluan pesakit hadir ke fasiliti kesihatan semata-mata untuk mendapatkan ubat susulan,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan ambulans tambahan dan menyalurkan bantuan aset, peralatan perubatan kepada hospital serta fasiliti kesihatan.
Menurutnya, inisiatif Klinik Decanting juga dilaksanakan melalui pemindahan perkhidmatan tertentu ke lokasi alternatif bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan sedia ada.
“Kerjasama dengan sektor swasta termasuk KPJ Healthcare turut diperkukuhkan bagi membantu dari segi kepakaran dan tenaga kerja.
“Maka jelaslah bahawa Johor bukan sekadar ‘wayang’ apabila melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan Bangsa Johor.
“Seperti yang saya katakan, kami hanya menuntut apa yang telah dijanjikan. Sebab itu, kami bersuara dan menyeru pihak yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.






