hamden17/08/2026 - 09:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos - CelcomDigi Bhd (CDB) memperuntukkan kurang RM10 juta bagi memastikan kesediaan infrastruktur dan rangkaian pengedarnya dalam menghadapi piawaian baharu pendaftaran pelanggan prabayar yang ditetapkan pengawal selia.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, syarikat kini berada di landasan tepat untuk mencapai pematuhan penuh, termasuk menyediakan peranti biometrik, kemas kini perisian serta latihan kepada para pengedar.
"Dari segi prospek, kami menjangkakan ARPU campuran CelcomDigi kekal stabil apabila syarikat mengalihkan tumpuan kepada peningkatan ARPA melalui penggabungan produknya.
"Kami percaya ketidakpastian berkaitan DNB sebahagian besarnya telah diambil kira dalam penilaian semasa dan nisbah risiko-ganjaran kini lebih menarik.
"Oleh itu, kami mengekalkan penarafan "Beli' dan harga sasaran RM3.50, berdasarkan penilaian EV/EBITDA sebanyak 9.0x yang tidak berubah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Perkembangan itu susulan pengumuman keputusan kewangan 2QFY26 CelcomDigi yang menyaksikan keuntungan bersih susut 9.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM398 juta, meskipun hasil meningkat 0.3% kepada RM3.19 bilion.
Hasil perkhidmatan CelcomDigi meningkat 1.4% YoY pada suku tersebut, disokong pertumbuhan kukuh segmen Home dan Fibre sebanyak 33.8% kepada RM95 juta serta Enterprise Solutions yang meningkat 19.3% kepada RM82 juta.
Bagaimanapun, hasil Postpaid merosot 15% YoY kepada RM1.01 bilion berikutan penurunan purata hasil setiap pengguna (ARPU) kepada RM60 daripada RM63 setahun sebelumnya.
Hasil Prepaid pula susut 3.2% kepada RM1.02 bilion apabila jumlah pelanggan berkurangan 5.5% kepada 11.9 juta daripada 12.6 juta pada 2QFY25.
ARPU campuran turut menurun sedikit kepada RM40 berbanding RM41 pada suku sama tahun sebelumnya.
Sementara itu Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang) yang turut mengekalkan saranan 'Beli', mengurangkan sedikit unjuran pendapatan CelcomDigi bagi 2026 hingga 2028 selepas mengambil kira pelarasan sekali sahaja yang direkodkan pada suku kedua (2Q) 2026.
Firma itu meletakkan harga sasaran 12 bulan berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) pada RM3.40 sesaham, tidak berubah daripada sasaran sebelumnya.
Affin Hwang berkata, penurunan unjuran pendapatan CelcomDigi masing-masing antara 0.1% hingga 1.0%, dengan kesan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh jangkaan kerugian masa depan yang lebih rendah daripada pegangan 33.3% syarikat dalam Digital Nasional Bhd (DNB).
Firma itu kini menjangkakan pemindahan saham DNB itu hanya akan diselesaikan pada awal suku keempat 2026, berbanding jangkaan sebelum ini pada suku ketiga.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 (6B26), keuntungan bersih teras CelcomDigi susut 1% tahun ke tahun kepada RM816 juta, manakala hasil perkhidmatan meningkat 1.5% kepada RM5.43 bilion.
Affin Hwang menyifatkan prestasi tersebut sebagai sederhana, namun masih secara keseluruhannya dalam jangkaan.
Penyusutan keuntungan teras terutama disebabkan kos penyelesaian dan duti setem sekali sahaja berjumlah RM43 juta serta peningkatan kos borong 5G.
Kesan tersebut bagaimanapun sebahagiannya diimbangi oleh kos kakitangan dan pemasaran yang lebih rendah, selain pengurangan peruntukan hutang ragu.
Dari segi kecekapan operasi, CelcomDigi mencapai penjimatan RM100 juta pada 2Q menjadikan jumlah penjimatan bagi 6B26 kepada RM140 juta.
Ini meletakkan syarikat di landasan untuk mencapai sasaran penjimatan setahun penuh sebanyak RM470 juta. - DagangNews.com






