hamden21/08/2026 - 18:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos - AEON CO. (M) Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih kukuh sebanyak RM97.9 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), meningkat 22% daripada RM80.4 juta setahun sebelumnya, meskipun segmen peruncitan kumpulan terus berdepan tekanan perbelanjaan pengguna yang berhati-hati.
Segmen peruncitan AEON susut 1.1% kepada RM1.83 bilion pada 1HFY26 daripada RM1.85 bilion pada tempoh sama tahun lalu, apabila pengguna terus memberi keutamaan kepada barangan keperluan, manakala perbelanjaan bagi barangan budi bicara (discretionary) semakin sederhana dalam persekitaran ekonomi semasa.
Sebaliknya, perniagaan pengurusan hartanah terus menjadi pemacu utama pertumbuhan keuntungan kumpulan, dengan hasil meningkat 3.5% kepada RM412.5 juta daripada RM398.6 juta.
Pertumbuhan itu disokong kejayaan pembaharuan sewaan, pertumbuhan jualan penyewa yang berterusan, kadar penghunian yang sihat serta pengoptimuman campuran penyewa.
Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko berkata pertumbuhan keuntungan kumpulan terutamanya datang daripada prestasi kukuh perniagaan pengurusan hartanah, selain disiplin kos yang berterusan di seluruh operasi.
“Perbelanjaan pengguna kekal selektif, namun permintaan terhadap barangan keperluan harian kekal kukuh.
“Kami akan terus menambah baik segmen peruncitan dengan memperluaskan rangkaian Produk Jenama Sendiri serta memperkukuh program kesetiaan pelanggan bagi mengukuhkan penglibatan pelanggan, di samping meningkatkan jumlah kunjungan dan perbelanjaan,” katanya.
AEON buka pusat beli-belah ke-28
Dalam perkembangan berkaitan, AEON terus memperkukuh strategi pengembangan rangkaian peruncitannya menerusi pembukaan AEON Mall KL Midtown, pusat beli-belah ke-28 kumpulan yang dijadualkan beroperasi pada suku keempat tahun ini.
Beberapa penyewa utama telah diperkenalkan pada suku berkenaan, dengan sambutan daripada rakan niaga peruncitan mencerminkan keyakinan terhadap kedudukan dan potensi jangka panjang pusat beli-belah itu di KL Metropolis.
AEON turut meneruskan kerja peningkatan aset di beberapa lokasi, termasuk AEON Permas Jaya, AEON Kinta City dan AEON Seremban 2, yang dijangka siap sebelum musim perayaan hujung tahun.
Menurut kumpulan, inisiatif itu sebahagian daripada strategi peningkatan aset bagi memperbaharui destinasi peruncitan, mengukuhkan kehadiran serantau serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada pelanggan, penyewa dan pemegang saham.
Kekal berhati-hati terhadap sentimen pengguna
Melangkah ke hadapan, AEON menjangka permintaan terhadap barangan keperluan harian kekal berdaya tahan, walaupun kumpulan kekal berhati-hati terhadap persekitaran ekonomi dan kesannya terhadap sentimen pengguna.
Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada transformasi digital, pengoptimuman campuran penyewa dan peningkatan aset di seluruh rangkaian peruncitannya.
Pada masa sama, AEON akan meneruskan inisiatif kelestarian bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com






