liza02/09/2026 - 10:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept – Phillip Capital kekal positif terhadap prospek MN Holdings Bhd selepas syarikat itu mencatatkan buku tender pada paras rekod RM5.1 bilion yang akan menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan pada tahun kewangan berakhir Jun 2027 (FY27).
Firma penyelidikan itu berkata, MN Holdings mempunyai buku tempahan tertunggak sebanyak RM1.6 bilion setakat Ogos 2026 dengan kira-kira RM1 bilion daripada jumlah tersebut dijangka diiktiraf sebagai pendapatan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Menurutnya, projek berkaitan pusat data menyumbang bahagian terbesar buku tempahan tersebut iaitu sebanyak 57%, diikuti projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebanyak 32%, manakala sektor tenaga solar menyumbang 7% dan projek lain sebanyak 4%.
“Kedudukan buku tempahan yang kukuh itu menjadi asas kepada momentum pendapatan MN Holdings pada FY27 apatah lagi syarikat terus memperoleh kontrak baharu.
“Setakat tahun semasa, MN Holdings telah memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM300 juta dan pencapaian itu dilihat berada pada landasan yang baik untuk mencapai unjuran penambahan kontrak baharu sebanyak RM1.3 bilion bagi FY27,” kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.
Tender Besar TNB Dan Pusat Data
Buku tender MN Holdings sebanyak RM5.1 bilion itu meningkat ketara daripada RM3.7 bilion pada suku ketiga FY26 dengan projek berkaitan TNB menyumbang 54% daripada keseluruhan tender, diikuti pusat data sebanyak 29%.
Phillip Capital berkata, tender TNB itu diterajui oleh dua pakej projek pencawang elektrik berkapasiti 500 kilovolt (kV) dengan nilai gabungan kira-kira RM1.5 bilion.
Baki tender berkaitan TNB pula melibatkan pelbagai projek dengan nilai antara RM6 juta hingga RM90 juta, menunjukkan peluang kontrak yang masih besar untuk MN Holdings dalam sektor infrastruktur tenaga.
Bagi sektor pusat data, kumpulan itu mempunyai buku tender bernilai RM1.4 bilion yang melibatkan pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada.
Antara tender utama ialah projek bernilai RM500 juta daripada pelanggan yang merangkumi dua pakej pencawang elektrik berkapasiti 275kV, selain satu kontrak kerja kabel berasingan bernilai RM260 juta.
Peluang Solar Tambah Potensi Pertumbuhan
Dalam pada itu, pihak pengurusan MN Holdings turut meneroka peluang untuk mengembangkan perniagaan tenaga solar dengan bergerak melangkaui aktiviti kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kepada pemilikan aset solar.
Phillip Capital berkata langkah itu dilihat berpotensi membuka peluang baharu kepada kumpulan menerusi projek solar berskala besar pusingan kelima dan seterusnya (LSS5+/LSS6), selain peluang di bawah Program Penjanaan Tenaga Bersama Korporat (CGPP).
“Peluang tersebut turut disokong oleh keperluan penjanaan sendiri tenaga boleh diperbaharui sebanyak 30% yang ditetapkan oleh Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), yang terpakai kepada pusat data baharu dan sedia ada.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham MN Holdings dengan harga sasaran 12 bulan tidak berubah pada RM4.57 sesaham, berbanding harga penutupan RM3.54 ketika ini.
“MN Holdings berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan berstruktur dalam sektor infrastruktur tenaga, selain mempunyai pendedahan strategik kepada industri pusat data dan tenaga solar yang berkembang pesat, namun risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan projek serta kelembapan dalam penambahan buku tempahan baharu,” katanya. - DagangNews.com






