liza27/08/2026 - 19:04 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos – MN Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM92.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), melonjak 92% berbanding RM48.23 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan itu turut menyaksikan hasil kumpulan meningkat 61% kepada RM869.19 juta berbanding RM540.45 juta pada FY2025, didorong oleh peningkatan sumbangan daripada segmen kejuruteraan pencawang.
Segmen kejuruteraan pencawang mencatatkan hasil sebanyak RM766.46 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM360.38 juta pada FY2025.
Segmen berkenaan menyumbang kira-kira 88% daripada keseluruhan hasil kumpulan bagi FY2026, manakala baki 12% disumbangkan oleh segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.
Keuntungan Kasar Dan Prestasi Suku Keempat Meningkat
Keuntungan kasar MN Holdings meningkat kira-kira 51% kepada RM174.83 juta daripada RM115.43 juta sebelum ini, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan pentadbiran.
Kumpulan itu turut merekodkan kerugian rosot nilai bersih yang lebih rendah melibatkan aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM9.5 juta pada FY2026 berbanding RM14.02 juta pada FY2025.
Selepas mengambil kira perbelanjaan pampasan berasaskan saham yang berlaku sekali sahaja serta kerugian rosot nilai bersih, keuntungan sebelum cukai diselaraskan MN Holdings meningkat 69% kepada RM141.63 juta berbanding RM83.74 juta pada tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026 pula, hasil kumpulan meningkat 18% kepada RM211.47 juta berbanding RM179.42 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai bagi suku tersebut melonjak 83% kepada RM34.77 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat lebih dua kali ganda atau 104% kepada RM24.37 juta daripada RM11.94 juta pada suku keempat FY2025.
Projek Pencawang Terus Menjadi Pemacu Utama
Prestasi suku keempat yang lebih baik itu turut didorong oleh segmen kejuruteraan pencawang yang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 24% kepada RM180.22 juta.
Peningkatan itu disokong oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi serta pertambahan aktiviti projek bagi beberapa projek yang sedang dilaksanakan oleh kumpulan.
Segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah pula menyumbang sebanyak RM31.25 juta kepada hasil kumpulan bagi suku keempat FY2026.
MN Holdings juga mencatatkan pembalikan semula kerugian rosot nilai bersih sebanyak RM2.02 juta bagi aset kewangan dan aset kontrak pada suku tersebut, berbanding kerugian rosot nilai bersih RM9.72 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, FY2026 merupakan satu lagi tahun pertumbuhan bagi kumpulan itu, disokong oleh kemajuan berterusan dan pelaksanaan projek-projek yang sedang dijalankan, dengan peningkatan besar daripada segmen kejuruteraan pencawang mencerminkan tahap aktiviti projek yang lebih tinggi sepanjang tahun.
Beliau berkata, pelaburan berterusan Malaysia dalam infrastruktur tenaga, termasuk peningkatan keperluan elektrik daripada pusat data dan industri teknologi tinggi, menyediakan persekitaran operasi yang menyokong pertumbuhan Kumpulan.
“Selain itu, peluang dalam utiliti bawah tanah dan infrastruktur air turut melengkapkan kepakaran sedia ada MN Holdings,” katanya.
Ketika ini, buku tempahan MN Holdings berjumlah kira-kira RM1.64 bilion yang akan terus menyokong pelaksanaan projek dan prospek hasil kumpulan bagi beberapa tahun kewangan akan datang, merangkumi projek infrastruktur tenaga, kerja berkaitan pusat data, tenaga boleh baharu, utiliti bawah tanah dan segmen infrastruktur lain.
Kumpulan itu turut mengukuhkan profil korporatnya selepas berjaya berpindah daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 11 Ogos 2026.





