liza26/08/2026 - 11:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos – Jualan belum dibilkan SkyWorld Development Berhad sebanyak RM1.1 bilion dijangka terus menyokong prestasi pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2027 (FY27), menurut Mercury Securities.
Firma penyelidikan itu berkata kedudukan jualan belum dibilkan itu memberikan keterlihatan pendapatan yang baik kepada SkyWorld apabila hasil boleh diiktiraf secara berperingkat berdasarkan kemajuan pembinaan projek.
“SkyWorld turut mencatat jualan RM195.5 juta dalam tempoh tiga bulan pertama FY27, manakala kadar pengambilan bagi lima projek yang sedang dibangunkan kekal kukuh pada 90.9% dengan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan RM2.2 bilion,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya.
Projek Sedia Ada Terus Menyokong Pendapatan
Vesta Residences menjadi antara projek utama yang menyokong pelaksanaan SkyWorld dengan kadar tempahan meningkat kepada kira-kira 93%, manakala kemajuan pembinaannya sudah mencapai sekitar 75%.
Projek itu dijangka mencapai penyerahan milikan kosong (VP) pada suku keempat FY27, manakala kadar tempahan SkyAwani PR1MA dan SkyAwani 6 turut kekal tinggi masing-masing sekitar 96% dan 88%.
SkyAman 1 pula menunjukkan peningkatan kadar tempahan kepada kira-kira 46% sementara Pearlmont Fasa 1 di Pulau Pinang mencatat kadar tempahan 56.9%.
Pengurusan juga sedang meneroka potensi jualan pukal kira-kira 200 unit di Pearlmont Fasa 1 yang sekiranya direalisasikan, boleh mempercepatkan penyerapan jualan projek tersebut.
Pelancaran Baharu Dan PPVC Jadi Pemacu
Bagi FY27, SkyWorld menyasarkan pelancaran projek bernilai lebih RM2 bilion, termasuk Silverlake Residences di Setapak, Pearlmont Fasa 2 di Seberang Jaya dan SkyWorld Cassia di Batu Kawan.
Pelancaran tersebut dilihat penting untuk mengisi semula saluran pendapatan apabila jualan belum dibilkan daripada projek sedia ada terus diiktiraf.
Pada masa sama, kilang PPVC SkyWorld sedang dibina mengikut jadual dan kira-kira 20% pembinaannya sudah siap setakat akhir Jun 2026.
Mesin untuk kilang itu dijangka tiba pada Oktober 2026, manakala pengeluaran percubaan disasarkan bermula November 2026 sebelum operasi komersial pada 3QFY27.
Menurut Mercury Securities, manfaat utama PPVC bukanlah peningkatan margin yang ketara, sebaliknya keupayaannya memendekkan tempoh pembinaan kira-kira 30%, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek, mempercepatkan pusingan projek dan membantu kitaran semula aliran tunai.
Prestasi Pulih, Tetapi Margin Dan Hutang Perlu Dipantau
Bagi 1QFY27, hasil SkyWorld meningkat 46% tahun ke tahun (YoY) kepada RM108.7 juta manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 68% kepada RM9.4 juta dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan minoriti (PATAMI) melonjak 84% kepada RM5.3 juta.
Namun, secara suku ke suku, hasil susut 18% manakala keuntungan sebelum cukai merosot 51% selepas projek Curvo Residences disiapkan pada 4QFY26, menyebabkan pengiktirafan hasil secara progresif lebih rendah.
Margin kasar turut menyusut kepada 29% berbanding 36.1% pada tahun sebelumnya dan 34.7% pada 4QFY26, terutama disebabkan campuran projek yang kurang menguntungkan serta semakan lebih tinggi terhadap kos pembangunan Vesta Residences.
Mercury Securities bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan FY27 dan FY28 kerana melihat jualan belum dibilkan RM1.1 bilion, kemajuan pembinaan yang bertambah baik serta saluran pelancaran melebihi RM2 bilion terus menyokong keterlihatan pendapatan SkyWorld.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman SkyWorld meningkat kepada RM746.4 juta, menyebabkan nisbah gear bersih meningkat kepada 0.43 kali daripada 0.25 kali pada akhir FY26.
Peningkatan itu terutama mencerminkan pembayaran kira-kira RM160 juta bagi tanah di Mont Kiara dan Seberang Jaya serta perbelanjaan awal bagi kemudahan PPVC. Aliran tunai operasi juga negatif RM166.3 juta pada suku berkenaan disebabkan pembayaran berkaitan tanah.
Bagaimanapun, kedudukan kecairan SkyWorld masih dianggap selesa dengan tunai dan baki bank sebanyak RM352.1 juta serta kemudahan kredit yang belum digunakan sebanyak RM571.9 juta.
Vietnam pula dilihat sebagai pilihan pertumbuhan jangka panjang dengan SkyWorld mempunyai 230.1 ekar tanah boleh dibangunkan yang membawa anggaran GDV RM19.8 bilion.
Projek SkySOLIS di Ho Chi Minh City, yang merupakan pembangunan kediaman pertama SkyWorld di luar negara, mempunyai anggaran GDV sekitar RM800 juta. Fasa pertama kira-kira 300 unit telah memperoleh lebih 100 tempahan selepas galeri jualannya dibuka pada Julai 2026.
Bagaimanapun, sumbangan pendapatan daripada Vietnam hanya akan diperolehi tiga tahun lagi kerana hasil hanya akan diiktiraf apabila projek siap
Mercury Securities mengekalkan saranan “Beli” terhadap SkyWorld dengan harga sasaran RM0.58, berbanding harga pasaran RM0.40, berdasarkan penilaian nilai aset bersih disemak (RNAV).
Firma penyelidikan itu berkata prospek pertumbuhan jangka sederhana SkyWorld kekal positif, disokong RM1.1 bilion jualan belum dibilkan, kemajuan projek yang bertambah baik, saluran pelancaran FY27 melebihi RM2 bilion serta potensi pertumbuhan daripada Pulau Pinang, PPVC dan Vietnam. - DagangNews.com






