IJM sasar kontrak baharu RM8 bilion, IPO pembinaan jadi pemangkin FY27 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IJM sasar kontrak baharu RM8 bilion, IPO pembinaan jadi pemangkin FY27 - Penganalisis Image from: IJM sasar kontrak baharu RM8 bilion, IPO pembinaan jadi pemangkin FY27 - Penganalisis hamden27/08/2026 - 09:46 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - IJM Corporation Berhad dijangka memperhebat usaha menambah nilai buku tempahannya dalam tempoh 12 bulan akan datang menjelang potensi penyenaraian perniagaan pembinaannya pada suku ketiga tahun kalendar 2027 (3QCY27), menurut penganalisis pasaran.

 

CGSI International (CGSI) melihat langkah itu sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperkukuh kedudukan segmen pembinaannya sebelum proses penyenaraian dilaksanakan, sekali gus meningkatkan daya tarikan perniagaan tersebut kepada pelabur.

 

Menjelang potensi IPO itu, pendedahan IJM kepada projek dalam sektor semikonduktor dan teknologi perubatan dilihat sebagai antara faktor pembeza utama kumpulan berbanding pesaing terdekat seperti Gamuda dan Sunway Construction.

 

IJM baru-baru ini mengumumkan kemenangan dua projek bernilai gabungan RM909.5 juta dalam sektor berkenaan, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam segmen pembinaan industri berteknologi tinggi.

 

Kumpulan turut mengekalkan panduan untuk memperoleh kontrak baharu bernilai antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi FY27, berbanding RM7.9 bilion yang dicatatkan pada FY26.

 

Menurut CGSI dalam nota penyelidikannya, sasaran itu akan disokong oleh buku tender semasa bernilai RM18 bilion, yang merangkumi pelbagai projek berpotensi termasuk projek perumahan Nusantara di Indonesia, jambatan rel menghubungkan tanah besar dan pulau di Pulau Pinang, terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, serta projek perindustrian, pusat data dan pembinaan kilang semikonduktor.

 

"Selain memperkukuh buku tempahan, IJM turut menyasarkan hasil perniagaan pembinaan sebanyak RM4.5 bilion hingga RM5 bilion bagi FY27, melebihi unjuran firma penyelidikan sebanyak RM4.1 bilion," katanya.

 

Sebagai perbandingan, operasi pembinaan IJM di Malaysia dan Singapura mencatatkan hasil RM3.6 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM248 juta pada FY26.

 

Agihan RM1.2 bilion Dividen

CGSI berkata, antara perkara yang lebih menarik perhatian pelabur menjelang potensi IPO perniagaan pembinaan itu ialah komitmen IJM untuk mengagihkan sebanyak RM1.2 bilion dalam bentuk dividen kepada pemegang saham sedia ada daripada hasil penyenaraian berkenaan.

 

"Kami percaya pembayaran itu berkemungkinan dibuat secara tunai dan berdasarkan harga saham semasa, berpotensi menawarkan hasil dividen sekitar 12% kepada pemegang saham," katanya.

 

Sementara itu susulan keputusan kewangan yang mengatasi jangkaan, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan IJM pada FY27 hingga FY29 masing-masing sebanyak 14%, 14% dan 13%, mengambil kira andaian bil kemajuan yang lebih tinggi bagi segmen pembinaan.

 

"Kami juga melanjutkan tahun asas penilaian kepada FY28F daripada FY27F, selain melaraskan asas bilangan saham berikutan penjualan semula 142.4 juta saham perbendaharaan.

 

"Hasilnya, kami memperoleh TP baharu berasaskan kaedah sum-of-parts (SOP) sebanyak RM3.50, yang turut mengambil kira premium ESG sebanyak 2%," katanya.

 

RHB Research menambah, pemangkin penarafan semula utama ialah sekiranya IJM berjaya memperoleh projek infrastruktur baharu seperti projek LRT Pulau Pinang, memandangkan sudah agak lama kumpulan itu tidak memperoleh kontrak projek rel.

 

IJM mengumumkan keputusan kewangan suku pertama tahun 2027 dengan keuntungan bersih melonjak 43.7% kepada RM137.4 juta, sekali gus mendorong kumpulan itu mengisytiharkan dividen khas 10 sen sesaham kepada pemegang saham.

 

Prestasi memberangsangkan itu turut menyaksikan hasil meningkat 32.2% kepada RM2.29 bilion berbanding RM1.73 bilion pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 32.1% kepada RM201.8 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved