
PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bulanan terbaik bagi tahun ini apabila indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 3.66 peratus kepada 1,725 mata pada Julai 2026, sekali gus menebus penyusutan 1.13 peratus yang direkodkan pada Jun lalu.
CIMB Securities berkata, momentum positif pasaran didorong oleh asas ekonomi domestik yang semakin kukuh, kemasukan semula pelabur asing sebagai pembeli bersih serta permulaan musim laporan kewangan korporat suku kedua yang memberangsangkan.
“Perkembangan itu berjaya mengatasi beberapa cabaran luaran yang masih membelenggu pasaran global.
“Sentimen pelabur turut diperkukuh oleh pertumbuhan awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun, melebihi jangkaan pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, kadar inflasi yang terus reda serta keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus meningkatkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara.
Di peringkat antarabangsa, pasaran terus berdepan pelbagai ketidaktentuan termasuk pelaksanaan semula tarif Seksyen 301 Amerika Syarikat, siasatan berkaitan lebihan kapasiti industri, ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak mentah Brent seketika melepasi AS$100 setong (RM408.80) serta penjualan saham sektor teknologi susulan kebimbangan terhadap kemampanan perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelabur berikutan pertumbuhan ekonomi domestik yang berdaya tahan, penilaian saham yang menarik serta hala tuju dasar kerajaan yang semakin jelas.
Dalam pada itu, CIMB Securities berkata, musim laporan kewangan suku kedua 2026 juga bermula dengan prestasi yang menggalakkan.
“Daripada 19 syarikat yang telah mengumumkan keputusan kewangan, sebanyak 21 peratus merekodkan prestasi melebihi jangkaan, manakala 26 peratus berada di bawah unjuran.
“Selebihnya mencatat keputusan yang secara umumnya selari dengan ramalan pasaran,” katanya.
Dari sudut aliran dana, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih pada Julai dengan aliran masuk bersih RM267 juta selepas mencatatkan aliran keluar RM6.1 bilion sepanjang Mei dan Jun.
“Pembelian tertumpu kepada sektor perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan utiliti.
“Sebaliknya, pelabur institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM406 juta selepas dua bulan berturut-turut menjadi pembeli bersih. Pelabur runcit tempatan pula kekal sebagai pembeli bersih untuk bulan ketiga berturut-turut, namun nilai pembelian susut kepada RM19 juta berbanding RM453 juta pada Jun,” katanya.
Pelabur proprietari turut kembali menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk RM120 juta, didorong pembelian dalam sektor kewangan dan perindustrian.
Dari segi prestasi serantau, FBM KLCI muncul sebagai indeks ketiga terbaik dalam kalangan pasaran MIST pada Julai dengan kenaikan 3.7 peratus.
“Prestasinya bagaimanapun masih di belakang Indonesia yang meningkat 10.5 peratus dan Singapura 8.9 peratus, namun mengatasi Thailand yang susut 7.9 peratus,” katanya.
Mengikut sektor, kaunter perladangan, perindustrian dan kewangan menjadi peneraju kenaikan berikutan kebimbangan terhadap fenomena El Niño, ketegangan geopolitik serta sokongan data makroekonomi yang kukuh.
“Sebaliknya, sektor utiliti, hartanah dan amanah pelaburan hartanah (REIT) mencatat prestasi lebih lemah akibat aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan terhadap prospek kadar faedah,” katanya.
Dalam kalangan saham komponen FBM KLCI, Petronas Chemicals muncul sebagai saham berprestasi terbaik dengan kenaikan 18 peratus sepanjang Julai, diikuti CelcomDigi (12 peratus) dan SD Guthrie (10 peratus).
“Sebaliknya, Axiata, YTL Corporation dan IOI Properties merupakan antara saham yang mencatatkan penyusutan terbesar.
“Sepanjang Ogos, perhatian pelabur dijangka tertumpu kepada kemuncak musim laporan kewangan suku kedua, Sidang Khas Parlimen pada 11 Ogos, semakan suku tahunan Indeks MSCI, pengumuman KDNK muktamad suku kedua, data inflasi pengguna serta statistik perdagangan luar negara,” katanya. – UTUSAN
The post Bursa Malaysia catat prestasi bulanan terbaik tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.






