Bursa Malaysia guna penyata akaun CDS elektronik sepenuhnya bermula 25 Ogos 2025

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 12:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia guna penyata akaun CDS elektronik sepenuhnya bermula 25 Ogos 2025

image is not available

08/08/2025 - 12:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Bursa Malaysia Berhad akan melaksanakan sepenuhnya penggunaan penyata dan notis akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) secara elektronik (ePenyata) bagi pendeposit individu (pelabur), berkuat kuasa 25 Ogos 2025.

Peralihan itu merupakan langkah penting dalam usaha berterusan Bursa Malaysia ke arah pendigitalan, yang bertujuan meningkatkan pengalaman pelabur melalui akses yang lebih pantas, selamat dan mesra alam kepada maklumat berkaitan akaun CDS.

Peralihan sepenuhnya kepada ePenyata, Bursa Malaysia menegaskan komitmennya dalam memodenkan perkhidmatan pelabur sambil menyokong kelestarian alam sekitar melalui pengurangan penggunaan kertas dan keperluan penghantaran pos.

Walaupun penyampaian secara elektronik akan menjadi kaedah utama, Bursa Malaysia akan terus menyediakan penyata dan notis CDS bercetak tanpa sebarang bayaran kepada kumpulan pendeposit berikut:

  1. Pendeposit berumur 70 tahun ke atas (lahir pada tahun 1955 atau lebih awal) akan terus menerima penyata bercetak secara automatik tanpa perlu mengambil sebarang tindakan.
  2. Pendeposit berumur antara 65 hingga 69 tahun boleh memohon penyata bercetak melalui permintaan bertulis kepada broker saham masing-masing.
  3. Orang Kurang Upaya (OKU).
  4. Pendeposit yang tinggal di kawasan dengan capaian internet terhad.
  5. Pendeposit lain yang menghadapi kesukaran untuk mengakses ePenyata, tertakluk kepada pertimbangan kes demi kes oleh Bursa Malaysia.

Bagi kategori (2) hingga (5), pendeposit yang ingin menerima penyata bercetak perlu mengemukakan permohonan kepada broker saham masing-masing beserta dokumen sokongan.

"Pendeposit yang tidak tergolong dalam kategori pengecualian tetapi masih ingin menerima penyata CDS bercetak boleh memilih untuk melanggan melalui broker saham mereka.

"Yuran bulanan sebanyak RM101 akan dikenakan dan keseluruhan bayaran ini akan disalurkan kepada tujuan kebajikan menerusi yayasan amal Bursa, Yayasan Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pendeposit yang belum beralih kepada ePenyata dinasihatkan untuk berbuat demikian melalui mana-mana kaedah berikut:

  • Platform MyBURSA
  • Laman web Bursa Malaysia
  • Aplikasi mudah alih Bursa Anywhere
  • Melanggan melalui broker saham masing-masing
  • Melanggan secara bersemuka di Pusat Khidmat Bursa Assist di Bursa Malaysia
  • (Alamat: Exchange Square, Bukit Kewangan, 50200 Kuala Lumpur).

Pendeposit yang kini menerima ePenyata melalui e-mel juga boleh mengakses ePenyata mereka melalui portal MyBURSA dan/atau aplikasi mudah alih Bursa Anywhere. - DagangNews.com

standard