sarah25/11/2026 - 17:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) mengenakan teguran awam terhadap RHB Investment Bank Berhad (RHBIB) berhubung dua pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama berkaitan pengagihan saham AirAsia X Berhad kepada pemegang saham Capital A Berhad (Capital A).
Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, RHBIB selaku penasihat utama yang diiktiraf bagi Capital A gagal memastikan notis tarikh tutup buku bagi pelarasan sekuriti tertentu diberikan dalam tempoh minimum 10 hari pasaran serta pengagihan saham diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Tindakan terhadap RHBIB diambil selepas proses sewajarnya diselesaikan dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan, termasuk kepentingan pelanggaran tersebut, peranan dan tanggungjawabnya sebagai penasihat utama serta hakikat bahawa RHBIB pernah melakukan pelanggaran keperluan penyenaraian sebelum ini.
Notis hanya diberikan empat hari pasaran
Pada 25 April 2024, RHBIB bagi pihak Capital A mengumumkan beberapa cadangan korporat, termasuk cadangan pengagihan 1.69 bilion saham biasa baharu AirAsia X kepada pemegang saham Capital A yang layak.
Pengagihan itu menyebabkan pelarasan harga dan nisbah penukaran Sekuriti Hutang Islam Tidak Bercagar Boleh Tukar Boleh Tebus Tujuh Tahun 2021/2028 (RCUIDS) serta harga pelaksanaan Waran 2021/2028.
Bagaimanapun, tarikh tutup buku bagi pelarasan tersebut hanya diumumkan pada 27 November 2025 selepas Bursa Malaysia mengadakan perbincangan dengan RHBIB, sedangkan tarikh tutup buku ditetapkan pada 3 Disember 2025, menjadikan tempoh notis hanya empat hari pasaran berbanding minimum 10 hari yang diwajibkan.
Susulan kelewatan pengumuman itu, pelabur telah menjalankan urus niaga RCUIDS dan waran antara 19 hingga 27 November 2025 tanpa memperoleh notis sewajarnya mengenai tarikh tutup buku bagi pelarasan berkenaan.
Pengagihan saham lewat 11 hari pasaran
Bursa Malaysia berkata, pengagihan saham sepatutnya diselesaikan selewat-lewatnya pada 2 Januari 2026, namun hanya selesai pada 19 Januari 2026, iaitu 11 hari pasaran selepas tarikh akhir yang ditetapkan.
Kelewatan itu menjejaskan integriti pasaran apabila sekuriti Capital A mula didagangkan tanpa kelayakan pengagihan pada 2 Disember 2025 pada harga rujukan diselaraskan sebanyak 24.5 sen, menyebabkan permodalan pasaran syarikat berkurangan kira-kira RM2.646 bilion atau 71.16%, sedangkan pemegang saham hanya menerima saham pengagihan pada 19 Januari 2026.
Bursa Malaysia menegaskan bahawa tindakan susulan yang diambil RHBIB selepas menyedari kelewatan pengagihan tersebut tidak melepaskannya daripada tanggungjawab memastikan pengagihan diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, pelanggaran berkenaan dipandang serius kerana pengumuman tarikh tutup buku dan penyelesaian pengagihan dalam tempoh ditetapkan amat penting bagi memastikan pasaran sekuriti yang teratur dan adil, selain memelihara integriti pasaran serta keyakinan pelabur.
Bursa Malaysia turut mengingatkan semua penasihat supaya mengekalkan tahap integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab tertinggi serta lebih berwaspada dalam melaksanakan tugas bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan penyenaraian. - DagangNews.com






