hamden24/11/2026 - 09:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang meneliti aktiviti dagangan saham Datasonic Group Bhd (Datasonic), yang sebelum ini dikenali sebagai NexG Bhd, susulan lonjakan harga dan jumlah dagangan saham syarikat itu ketika cadangan pengambilalihan anak syarikat utamanya oleh kerajaan pada Ogos lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, SC sedang mendapatkan serta meneliti dokumen dan maklumat berkaitan bagi menentukan sama ada terdapat asas mencukupi untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
"Sekiranya sebarang salah laku dagangan atau pelanggaran mana-mana peruntukan CMSA dikesan dan dibuktikan, SC akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas perkara ini," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Kementerian itu menjawab soalan yang dibangkitkan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai kemungkinan pelanggaran CMSA berikutan kenaikan mendadak saham NexG serta aktiviti dagangan luar biasa dalam tempoh berkenaan.
Bee Yin turut meminta penjelasan mengenai rasional awal kerajaan meneroka cadangan pengambilalihan berkenaan serta sebab ia dibatalkan tidak lama selepas NexG mengumumkan nilai indikatif RM7.5 bilion bagi anak syarikatnya.
Kementerian kewangan menambah, seperti yang diumumkan pada 22 Ogos 2026 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan MADANI tidak berhasrat atau bercadang mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd.
Pada 20 Ogos lalu, NexG mengumumkan kerajaan sedang meneroka kemungkinan mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuhnya, selain mengarahkan syarikat itu mengemukakan penilaian indikatif.
Datasonic Technologies merupakan pembekal tunggal pasport antarabangsa Malaysia dan MyKad, selain mempunyai kontrak aktif bernilai kira-kira RM2.74 bilion dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
NexG kemudiannya menetapkan nilai indikatif RM7.5 bilion bagi anak syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, perkembangan itu tidak berpanjangan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN), dua hari selepas pengumuman awal tersebut, menjelaskan kerajaan tidak mempunyai hasrat atau perancangan untuk mengambil alih Datasonic Technologies.
Perkembangan berkenaan mencetuskan perubahan ketara dalam pergerakan saham NexG ketika itu.
Pada 20 Ogos, saham NexG melonjak kepada paras tertinggi harian 34 sen, meningkat lebih 21% berbanding 28 sen pada hari sebelumnya.
Sahamnya kemudian meningkat lagi kepada paras tertinggi 36.5 sen pada 21 Ogos sebelum susut kepada 27 sen ketika ditutup pada 24 Ogos, susulan penafian kerajaan terhadap cadangan pengambilalihan itu. - DagangNews.com






