Keuntungan Gas Malaysia dijangka melonjak 20% pada 2027 susulan kenaikan harga gas - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 9:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan Gas Malaysia dijangka melonjak 20% pada 2027 susulan kenaikan harga gas - Penganalisis Image from: Keuntungan Gas Malaysia dijangka melonjak 20% pada 2027 susulan kenaikan harga gas - Penganalisis sarah25/11/2026 - 09:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Keuntungan Gas Malaysia Berhad dijangka melonjak kira-kira 20% kepada RM455 juta pada tahun kewangan 2027 (FY27), didorong kenaikan harga gas asli susulan peningkatan harga minyak mentah Brent.

 

RHB Research dalam nota kajiannya hari ini mengunjurkan Harga Rujukan Malaysia (MRP) bagi gas asli meningkat 27% pada 2027 berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyokong pertumbuhan keuntungan kumpulan menerusi perniagaan pembekalan gas yang memperoleh margin tetap berdasarkan MRP.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan prestasi kewangan Gas Malaysia lebih kukuh pada suku keempat 2026 (4Q26), dengan MRP diunjurkan meningkat 31% berbanding suku sebelumnya berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Senada dengan pandangan itu, BIMB Securities Research mengunjurkan keuntungan bersih teras Gas Malaysia mencecah RM134 juta pada 4Q26, meningkat kira-kira 28% berbanding RM104.7 juta pada suku sebelumnya, disokong kenaikan MRP kepada RM46.76 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu).

 

Terminal gas di Kedah pemacu pertumbuhan jangka panjang

Selain kenaikan harga gas, prospek pertumbuhan jangka panjang Gas Malaysia turut disokong pembangunan Terminal Regasifikasi Keempat (RGT4) di Yan, Kedah, yang telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan disasarkan beroperasi menjelang 2030.

 

RHB Research berpandangan terminal berkenaan berpotensi menjadi pembekal utama gas kepada loji jana kuasa berasaskan gas Malakoff Corporation Berhad yang mempunyai kapasiti keseluruhan 2.8 gigawatt (GW).

 

Berdasarkan andaian perbelanjaan modal RM2.1 bilion dan pegangan Gas Malaysia sebanyak 70% dalam projek berkenaan, firma penyelidikan itu menganggarkan RGT4 menyumbang 49 sen sesaham kepada penilaian kumpulan.

 

BIMB Securities pula menjangkakan keputusan pelaburan muktamad bagi projek itu dibuat sekitar penghujung 2026 atau awal 2027, dengan peningkatan permintaan gas daripada loji jana kuasa baharu dan pusat data membuka peluang pertumbuhan kepada kumpulan.

 

Persaingan harga berisiko menekan margin keuntungan

Bagaimanapun, BIMB Securities berpandangan margin keuntungan Gas Malaysia masih berdepan tekanan susulan persaingan harga yang semakin sengit dan tempoh kontrak pelanggan yang lebih pendek, sekali gus berpotensi mengehadkan keupayaan kumpulan memindahkan sepenuhnya kenaikan kos kepada pelanggan, meskipun menguasai kira-kira 83% pasaran gas di luar sektor penjanaan elektrik.

 

Keuntungan suku ketiga meningkat 44.4%

Gas Malaysia mencatatkan keuntungan bersih teras RM104.7 juta pada 3Q26, meningkat 44.4% berbanding suku sebelumnya dan 10.1% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat 9.4% secara suku tahunan kepada RM1.73 bilion.

 

Bagi sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih teras kumpulan bagaimanapun susut 8.2% kepada RM270.1 juta, manakala pendapatan merosot 11.1% kepada RM4.91 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM6.50 sesaham, manakala BIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM4.60 sesaham, dengan kedua-dua firma mengunjurkan hasil dividen sekitar 5% pada FY27. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved