sarah24/11/2026 - 16:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Pos Malaysia Berhad menjalin kerjasama dengan X Square Robot bagi meneroka penggunaan robot berteknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan pengendalian dan pengasingan bungkusan serta operasi logistiknya.
Kedua-dua syarikat hari ini memeterai memorandum kerjasama (MoC) yang menggabungkan kepakaran X Square Robot dalam teknologi robotik dengan pengalaman Pos Malaysia dalam pengurusan perkhidmatan pos dan logistik.
Menerusi kerjasama itu, X Square Robot berhasrat menyediakan peralatan robotik untuk tujuan penilaian, manakala Pos Malaysia akan menyumbang kepakaran dan pengalaman berdasarkan keperluan sebenar operasi logistiknya.
Bagaimanapun, sebarang penilaian atau pelaksanaan teknologi berkenaan tertakluk kepada perjanjian bertulis berasingan antara kedua-dua pihak.
Robot AI mampu kendalikan pelbagai jenis bungkusan
Teknologi AI yang dibangunkan X Square Robot membolehkan robot mengenal pasti persekitaran, menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan serta melaksanakan tugas kompleks, termasuk mengendalikan bungkusan pelbagai saiz, bentuk dan berat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, kerjasama tersebut membuka peluang kepada syarikat untuk memanfaatkan teknologi baharu bagi memperkukuh operasi dan menyokong agenda transformasinya.
“Masa depan logistik akan menjadi lebih pintar, lebih terhubung dan semakin dipacu teknologi. Di Pos Malaysia, tumpuan kami adalah memanfaatkan inovasi untuk menambah baik cara kami bekerja dan menyampaikan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pos Malaysia, yang majoriti sahamnya dimiliki DRB-HICOM Berhad, kini mempunyai lebih 3,000 lokasi perkhidmatan dan menyediakan perkhidmatan penghantaran ke lebih 11 juta alamat di seluruh negara, selain lebih 230 negara dan wilayah di peringkat antarabangsa.- DagangNews.com






