liza08/09/2026 - 12:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept – SCA Solutions Berhad, penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE.
Syarikat itu menyasarkan penyenaraian pada suku keempat 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memasuki fasa pertumbuhan seterusnya selepas lebih dua dekad membina pengalaman dalam bidang sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC), keselamatan kebakaran serta rawatan air untuk aplikasi HVAC.
Pengarah Urusan SCA Solutions Berhad, Tan Cheng Eng berkata kumpulan itu berkembang daripada sebuah pengedar komponen HVAC kepada penyedia perkhidmatan M&E yang mempunyai kepakaran lebih menyeluruh sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, penyelesaian dan perkhidmatan bersepadu yang ditawarkan kumpulan itu telah mendapat kepercayaan pelanggan daripada pelbagai kemudahan kritikal termasuk pusat data, institusi pengajian tinggi, kemudahan perindustrian dan hospital.
“Pelanggan bergantung kepada kepakaran kami bagi memastikan keselamatan, mengoptimumkan prestasi dan penyelenggaraan bangunan serta meningkatkan daya tahan operasi.
“Peningkatan kerumitan bangunan dan kemudahan perindustrian mendorong kumpulan untuk terus memperkukuh pengetahuan serta keupayaan bagi melaksanakan projek berskala besar dan kompleks di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu akan mengukuhkan asas kumpulan untuk mengembangkan operasi serta memacu inovasi bagi pertumbuhan masa depan.
Terlibat dalam projek pusat data hingga lapangan terbang
SCA Solutions mempunyai pengalaman dalam pelbagai projek bangunan termasuk pusat beli-belah, hotel dan bangunan pejabat, selain hospital serta institusi pendidikan.
Rekod kumpulan itu turut merangkumi kemudahan perindustrian seperti pusat data dan kilang semikonduktor, serta projek infrastruktur termasuk terowong, lapangan terbang dan stesen transit kereta api.
Dari segi perkhidmatan, kumpulan itu menyediakan perkhidmatan HVAC dan keselamatan kebakaran yang meliputi perundingan teknikal, pemerolehan serta pembekalan komponen dan aksesori, selain kerja pengujian dan pentauliahan.
SCA Solutions turut menyediakan perkhidmatan rawatan air khusus untuk aplikasi HVAC, termasuk bekalan bahan kimia untuk rawatan air serta perkhidmatan penyelenggaraan berkaitan.
Edar 13 jenama global
Selain menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan teknikal, kumpulan itu mengedarkan produk daripada 13 jenama global, antaranya Belimo, Honeywell dan ABB.
Portfolio produknya merangkumi pelbagai komponen dan aksesori instrumentasi, termasuk sensor suhu dan tekanan, injap kawalan bermotor serta peranti pemeteran yang digunakan dalam sistem HVAC, selain instrumen keselamatan kebakaran dan komponen berkaitan.
Dengan kelulusan Bursa Securities itu, SCA Solutions kini menyasarkan untuk melaksanakan penyenaraian di Pasaran ACE pada suku keempat 2026.
Malacca Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan penyenaraian berkenaan. - DagangNews.com





