liza23/10/2026 - 10:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – MKH Bhd akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd berkuat kuasa 28 Oktober 2026 pada pukul 9 pagi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata tindakan berkenaan dibuat menurut Perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Penyahsenaraian itu menyusuli penguasaan Batu Kawan Bhd bersama anak syarikatnya, Whitmore Holdings Sdn Bhd dan pihak yang bertindak bersama mereka terhadap 95.16% kepentingan saham dalam MKH Bhd.
Jumlah pegangan tersebut bersamaan 548.85 juta saham MKH setakat penutupan dagangan pada 30 Sept 2026, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak Batu Kawan dan Whitmore pada 1 Okt lalu.
Pengambilalihan MKH bernilai RM1.15 bilion
Langkah Batu Kawan mengambil alih MKH bermula pada Mei lalu apabila Whitmore bersetuju membeli kepentingan 47.7% dalam MKH daripada anggota keluarga Chen pada harga RM2 sesaham, membabitkan nilai RM549.8 juta.
Pembelian itu kemudiannya disusuli tawaran kepada pemegang saham MKH yang lain pada harga sama bagi membolehkan Batu Kawan meningkatkan pegangannya dalam syarikat tersebut.
Secara keseluruhan, pengambilalihan MKH untuk menjadikannya syarikat persendirian bernilai sehingga RM1.15 bilion, termasuk kos pembelian kepentingan awal daripada keluarga Chen.
Penubuhan MKH
Ditubuhkan pada 1979, MKH ialah sebuah syarikat pemaju hartanah pelbagai bidang yang berpangkalan di Malaysia, dengan operasi perniagaan di Lembah Klang, selain di China dan Kalimantan Timur, Indonesia.
Seiring dengan perkembangan projek hartanahnya, MKH turut mengembangkan perniagaan kepada perdagangan bahan binaan, pelaburan hartanah dan pembuatan perabot. Pada 2008, kumpulan itu menceburi sektor perladangan kelapa sawit berikutan prospek kemampanan minyak sawit mentah (CPO) dalam jangka panjang.
Pada awal penubuhannya, MKH diperbadankan sebagai Srijang Bena Sdn Bhd. Sempena penyenaraian awamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 1995, kumpulan itu menukar nama kepada Metro Kajang Holdings Berhad sebelum menggunakan nama MKH Berhad pada 2011.
Bermula sebagai pemaju hartanah kecil di Kajang, MKH membangunkan perbandaran kediaman pertamanya pada 1979, diikuti pembangunan bertingkat tingginya yang pertama pada 1993 dan kompleks beli-belah pertama di Kajang pada 1994.
Walaupun produk yang ditawarkan telah berkembang sejak beberapa dekad lalu bagi memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah, janji jenama MKH kekal sama, iaitu memberikan nilai kepada pihak berkepentingan dari segi kualiti, kemampuan harga dan praktikal.
Dengan sokongan lebih 4,000 pekerja, kumpulan itu turut meraih pelbagai pengiktirafan industri atas kecemerlangan prestasi syarikat, mutu kerja pembinaan hartanah serta pengurusan estet. - DagangNews.com





