
PASIR MAS: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan ke atas seorang buruh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anggota polis menggunakan sebilah parang, minggu lalu.
Muhammad Syahid Che Mat, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Koperal Mohd. Afiq Amran, 37, dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang.
Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah dekat sini, kira-kira pukul 1.35 petang pada 17 Oktober 2026. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Siti Aiysha memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh menggunakan senjata parang terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bermula dari tarikh tangkap iaitu 17 Oktober lalu.
Terdahulu, seorang anggota polis dilapor mengalami kecederaan parah dan retak tangan kiri selepas dilibas dengan sebilah parang oleh suspek di Kampung Lalang Pepuyu dekat Tanah Merah. – UTUSAN
The post Buruh libas polis guna parang dipenjara tujuh tahun, dua sebatan appeared first on Utusan Malaysia.





