liza19/08/2026 - 11:10 Gabungan teknologi kenderaan tenaga baharu dan pengalaman global BYD bersama keupayaan pembuatan serta rangkaian tempatan Bus Cap menjadi asas kepada pembangunan ekosistem bas elektrik di Malaysia Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos – Bus Cap Berhad dan BYD Malaysia Sdn Bhd menjalin kerjasama untuk meneroka pembangunan bas elektrik di Malaysia termasuk cadangan membina kilang pemasangan dan pembuatan bas elektrik di Perak.
Kerjasama itu merangkumi pembangunan produk untuk pasaran, jualan, pemasaran dan pengedaran, perkhidmatan selepas jualan serta pemasangan dan pembuatan bas di Malaysia.
Kedua-dua pihak turut akan menilai struktur pelaburan dan operasi yang sesuai bagi menyokong platform berkenaan sebelum sebarang perjanjian muktamad dimeterai.
Bagi Bus Cap, kerjasama itu menjadi antara pencapaian penting selepas syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia, sekali gus membuka laluan untuknya berkembang daripada pengeluar bas tradisional kepada pemain dalam industri kenderaan komersial elektrik.
Perak dipilih sebagai lokasi cadangan kilang berkenaan susulan sejarah pembuatan bas Bus Cap di negeri itu sejak 1968 melalui anak syarikat milik penuhnya, Sin Hock Leong Coach Works Sdn Bhd (SHL Coach).
Peralihan Kepada Kenderaan Elektrik
Kerjasama Bus Cap dan BYD hadir ketika Malaysia sedang mempercepatkan peralihan sektor pengangkutan awam daripada kenderaan menggunakan bahan api kepada kenderaan elektrik.
Prasarana Malaysia Berhad sebelum ini mengesahkan perolehan 310 bas diesel yang sedang dilaksanakan akan menjadi pengambilan terakhir sebelum syarikat beralih sepenuhnya kepada platform elektrik menjelang 2037.
Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), operator nasional itu juga merancang untuk mengintegrasikan lebih 1,100 bas elektrik antara 2025 hingga 2030, selain 150 bas perantara elektrik bagi Laluan LRT Shah Alam.
Perkembangan itu bakal mewujudkan permintaan jangka panjang terhadap kilang pemasangan bas elektrik tempatan, sokongan kejuruteraan, infrastruktur selepas jualan serta perkhidmatan sepanjang hayat kenderaan.
Gabungan teknologi kenderaan tenaga baharu dan pengalaman global BYD bersama keupayaan pembuatan serta rangkaian tempatan Bus Cap boleh menjadi asas kepada pembangunan ekosistem bas elektrik di Malaysia.
Kerjasama Berpotensi Diperluas
Pengarah Eksekutif Bus Cap, Bernard Ng Chong Yan berkata MOU eksklusif dengan BYD Malaysia merupakan langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat selepas penyenaraian.
Menurut beliau, BYD membawa teknologi kenderaan tenaga baharu, penyelesaian serta pengalaman global, manakala Bus Cap mempunyai keupayaan pembuatan tempatan, kepakaran kejuruteraan, hubungan industri dan infrastruktur selepas jualan.
Beliau berkata kerjasama itu bukan sekadar untuk memperkenalkan bas elektrik di Malaysia, sebaliknya membangunkan platform industri tempatan yang merangkumi keseluruhan perkhidmatan dan penyelesaian mobiliti sepanjang hayat.
Sementara itu, Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Kenderaan Komersial BYD, Luo Zhongliang berkata Bus Cap mempunyai asas pembuatan tempatan, akses kepada pelanggan, keupayaan selepas jualan dan pemahaman pasaran yang penting untuk menyokong pembangunan bas elektrik.
Selain bas elektrik, kedua-dua pihak turut berhasrat menilai peluang dalam kenderaan komersial dan industri tenaga baharu lain, termasuk lori elektrik, forklift elektrik, van atau bas mini elektrik serta penyelesaian berkaitan transit rel, tertakluk kepada permintaan pasaran. - DagangNews.com






