Terengganu tukar sisa pepejal kepada biodiesel menerusi kilang RM50 juta di Kemaman

LocalEnvironment
17 Aug 2026 • 3:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu tukar sisa pepejal kepada biodiesel menerusi kilang RM50 juta di Kemaman Image from: Terengganu tukar sisa pepejal kepada biodiesel menerusi kilang RM50 juta di Kemaman liza17/08/2026 - 15:27 Keupayaan syarikat tempatan membangunkan teknologi tersebut turut membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan pendekatan berkenaan ke lokasi lain yang sesuai di Terengganu - Gambar FB Menteri Besar Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 17 Ogos – Terengganu membangunkan kilang pemulihan sisa pepejal menggunakan teknologi pirolisis pertama di Malaysia dengan kos RM50 juta yang mampu menukar sisa kepada bahan api termasuk biodiesel untuk kegunaan semula.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penggunaan teknologi berkenaan membuktikan sisa termasuk biomas boleh diproses untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai dan berpotensi dimanfaatkan semula.

 

Menurut beliau, keupayaan syarikat tempatan membangunkan teknologi tersebut turut membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan pendekatan berkenaan ke lokasi lain yang sesuai di Terengganu.

 

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan meneliti lokasi yang bersesuaian bagi membolehkan teknologi pirolisis digunakan dalam pengurusan sisa pepejal di kawasan lain.

 

Katanya, langkah itu penting bagi memperbaiki kaedah pengurusan sampah sedia ada, selain memastikan masalah sisa pepejal dapat ditangani dengan pendekatan yang lebih berkesan.

 

Proses 8,000 tan sisa sebulan

Beliau berkata, kerajaan negeri melihat teknologi berkenaan sebagai satu perkembangan yang memberangsangkan kerana ia bukan sahaja menangani isu pelupusan sisa, malah berupaya menghasilkan bahan api yang boleh digunakan kembali.

 

“Ini antara perkara yang saya sangat teruja dan kita akan kembangkan lagi di negeri Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Bukit Gelugor, Kertih.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kilang berkenaan mempunyai keupayaan memproses sehingga 8,000 tan sisa pepejal setiap bulan.

 

Beliau berkata, kapasiti itu dicapai menerusi penggunaan 20 reaktor bagi memproses sisa yang diterima di pusat pelupusan tersebut.

 

t

 

 

Hasilkan biodiesel dan karbon

Menurut Wan Sukairi, selain membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, penggunaan teknologi 3R berkenaan juga berpotensi memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

 

“Kaedah tersebut boleh membantu mengurangkan pencemaran udara dan air yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal.

 

“Antara hasil daripada proses pemulihan itu ialah biodiesel dan karbon yang berpotensi memberikan nilai ekonomi kepada negeri. 

 

“Biodiesel yang dihasilkan boleh digunakan sebagai bahan api bagi menggerakkan jentera dan kenderaan, seterusnya memberi kegunaan langsung kepada produk yang terhasil daripada sisa,” katanya.

 

t

 

Potensi diperluas ke lokasi lain

Projek berkenaan turut membawa manfaat dari segi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat kerana sebuah tapak seperti fasiliti yang dibangunkan ketika ini memerlukan kira-kira 150 pekerja merangkumi tenaga kerja teknikal, bukan teknikal dan kakitangan sokongan.

 

Peluang pekerjaan tersebut secara tidak langsung membolehkan penduduk tempatan terlibat dalam aktiviti berkaitan pengurusan dan pemulihan sisa pepejal.

 

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan terus meneroka pendekatan yang boleh memberikan nilai baharu kepada sisa pepejal, selain memastikan pengurusannya dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

 

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan teknologi tersebut boleh menjadi asas untuk dipertimbangkan di lokasi lain di Terengganu, bergantung kepada kesesuaian tapak dan keberkesanannya.

 

“Dengan keupayaan teknologi daripada syarikat tempatan, kita telah membuktikan bahawa proses pirolisis biomas ataupun sisa ini boleh berjaya dilakukan sehingga menghasilkan bahan api, termasuk bahan api diesel yang boleh digunakan kembali,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved