liza19/11/2026 - 16:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov – Bus Cap Berhad meneroka potensi penggunaan teknologi pengecasan ultra pantas dalam sektor pengangkutan komersial menerusi demonstrasi teknologi BYD Flash Charging yang mampu mengecas bateri kenderaan elektrik (EV) daripada 10% kepada 97% dalam tempoh sembilan minit.
Penglibatan itu memberi peluang kepada pengeluar bas berkenaan menguji sendiri keupayaan teknologi pengecasan terbaharu BYD Malaysia, khususnya dari segi kelajuan pengecasan yang boleh mempengaruhi ketersediaan bas, jadual perjalanan dan kecekapan operasi pengangkutan elektrik.
Bus Cap menyertai demonstrasi berkenaan sempena pelancaran rasmi teknologi BYD Flash Charging di DENZA Balakong, Selangor dan menjadi pemilik pertama di Malaysia bagi model baharu DENZA D9 Prestige AWD.
Dalam demonstrasi itu, teknologi berkenaan menunjukkan keupayaan mengecas bateri daripada 10% kepada 70% dalam lima minit dan 10% kepada 97% dalam sembilan minit, berdasarkan keadaan optimum serta penggunaan infrastruktur pengecasan BYD yang serasi.
Teknologi pengecasan pantas untuk kecekapan operasi bas
Teknologi Flash Charging itu menggunakan Bateri Bilah Generasi Kedua (Second Generation Blade Battery) BYD yang menyokong keupayaan pengecasan berkelajuan tinggi.
Pengarah Eksekutif Bus Cap, Bernard Ng Chong Yan berkata peluang merasai sendiri teknologi kenderaan elektrik dan sistem pengecasan terkini BYD membolehkan pasukan kumpulan itu memahami perkembangan teknologi yang boleh membentuk masa depan pengangkutan komersial.
Menurutnya, bagi pengendali pengangkutan komersial, kelajuan pengecasan bukan sekadar soal kemudahan, sebaliknya memberi kesan langsung kepada ketersediaan armada, penyusunan jadual perjalanan dan kecekapan operasi harian.
“Keupayaan mengecas bateri dalam tempoh lebih singkat berpotensi membantu mengurangkan masa kenderaan berada di stesen pengecasan, sekali gus memberi lebih ruang kepada pengendali untuk mengoptimumkan penggunaan bas,” katanya.
Berkait dengan hala tuju bas elektrik Bus Cap
Penerokaan teknologi itu juga selari dengan hala tuju Bus Cap untuk memperluas penglibatannya dalam sektor pengangkutan komersial berasaskan tenaga baharu menerusi kerjasama dengan BYD Malaysia.
Pada Ogos 2026, Bus Cap memeterai memorandum persefahaman (MoU) eksklusif dengan BYD Malaysia Sdn Bhd bagi mewujudkan rangka kerja kerjasama strategik untuk membangunkan platform kenderaan komersial tenaga baharu di Malaysia.
Kerjasama itu merangkumi cadangan pembangunan kemudahan pemasangan dan pembuatan bas elektrik di Perak, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan itu memperluas perniagaan daripada pembuatan bas kepada ekosistem pengangkutan komersial elektrik.
Bernard berkata, kerjasama berterusan dengan BYD Malaysia mencerminkan peralihan jangka panjang Bus Cap ke arah pengangkutan komersial berasaskan tenaga baharu.
Beliau berkata, walaupun pembuatan bas kekal sebagai asas utama perniagaan kumpulan, Bus Cap sedang membangunkan keupayaan dalam ekosistem mobiliti lebih luas yang merangkumi kenderaan, infrastruktur pengecasan serta sokongan sepanjang kitaran hayat kenderaan.- DagangNews.com


