Butik mewah Perancis tutup operasi bimbang rusuhan

WorldBusiness & Finance
24 Oct 2026 • 5:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Butik mewah Perancis tutup operasi bimbang rusuhan

PARIS: Sejumlah butik mewah di Perancis menutup premis dan memperketat kawalan keselamatan menjelang demonstrasi baharu hari ini, selepas kejadian rusuhan dan penjarahan ratusan kedai di beberapa bandar utama hujung minggu lalu.

Antara premis yang akan ditutup adalah kedai jam Rolex dan butik De Beers berhampiran Place Vendome di Paris, manakala pengurusan beberapa kedai lain mempertimbangkan untuk menamatkan operasi lebih awal bergantung pada keadaan demonstrasi.

Pengurusan butik jam IWC milik kumpulan Richemont, akan memutuskan sama ada perlu menutup premis lebih awal berdasarkan tahap demonstrasi.

Hujung minggu lalu, perusuh memecahkan tingkap dan menjarah ratusan kedai di Paris, Marseille dan Bordeaux, sekali gus mendorong peniaga mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi premis masing-masing.

Perancis, negara paling ramai dikunjungi pelancong di dunia, menarik ramai pembeli antarabangsa yang mendapatkan barangan mewah seperti beg tangan Chanel dan skaf Hermes.

Pembelian pelancong asing itu menjadi sumber pendapatan penting bagi jenama mewah yang kini berdepan permintaan semakin perlahan.

Demonstrasi hari ini dijangka melibatkan kumpulan termasuk kesatuan pelajar utama Perancis, UNEF, dan gerakan Rompi Kuning (Yellow Vest) yang muncul sebagai gerakan antikemapanan berpengaruh pada 2018.

Mereka merancang berarak di pusat Paris bagi membantah kos sara hidup yang tinggi serta pemotongan perkhidmatan awam.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, semalam berkata kementeriannya akan mengerahkan 70,000 anggota polis dengan sokongan unit khusus bagi mencegah keganasan seperti yang berlaku minggu lalu.

Bagaimanapun, kakitangan jenama di bawah kumpulan LVMH, termasuk Louis Vuitton, Dior dan Bulgari, berkata mereka tidak mahu mengambil risiko, dengan kawalan keselamatan di butik berhampiran Place Vendome dipertingkatkan hari ini.

Kawalan keselamatan swasta tambahan juga dirancang bagi membantu polis menjaga keselamatan di kawasan berkenaan.

Gedung beli-belah Printemps yang terletak berhampiran turut menambah kakitangan keselamatan, menjalankan kerja pembaikan berkaitan keselamatan serta memperkukuh tingkap pameran dan pintu masuk bagi mengelakkan kerosakan, menurut jurucakap gedung itu.- AGENSI

The post Butik mewah Perancis tutup operasi bimbang rusuhan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved