Beberapa minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa Intel akan mula membangunkan sebuah cip pemprosesan yang hadir khusus dengan teras Performance ataupun prestasi sahaja. Dinamakan “Bartlett Lake”, cip pemprosesan ini dijangka akan memanfaatkan mereka yang mahu membina sebuah PC khusus untuk tujuan gaming, dan tidak menghiraukan perkara lain seperti penjimatan tenaga.
Terkini, nampaknya butiran mengenai cip pemprosesan tersebut telah tertiris ke arena web melalui sebuah slaid pembentangan. Cip pemprosesan Bartlett Lake ini akan dinamakan Intel Core 5 Processor 120F.

Dari segi spesifikasi, cip pemprosesan ini akan hadir dengan enam teras fizikal dengan 12 bebenang kuasa pada kelajuan asas 2.5GHz dan Turbo Frequency sehingga 4.5GHz. Ia akan menyokong memori sehingga DDR5-4800 sebanyak 192GB. Dari segi penggunaan kuasa pula cip ini menariknya hanya mempunyai nilai TDP setinggi 65W.
Melalui slaid yang sama, kita juga dapat lihat bahawa cip pemprosesan ini akan memfokuskan terhadap binaan komputer yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan e-sukan terkemuka, dan boleh dipadankan dengan kad grafik Intel Arc Alchemist ataupun Battlemage untuk pengalaman gaming pada resolusi 1080p yang tidak membebankan dompet dan akaun bank anda.
Walaupun begitu, buat masa ini tanda harga dan tarikh pelancaran untuk cip pemprosesan ini tidak diumumkan lagi, dan setakat ini masih tiada sebarang penunjuk tentang bilakah cip tersebut akan diperkenalkan.
[sumber[
