Pada awal bulan lepas, kami telah melaporkan tentang tirisan rupa bentuk komputer riba Googlebook keluaran Lenovo, iaitu Lenovo Googlebook 15. Kini, dengan pelancaran siri komputer riba keluaran Google tersebut
Komputer riba ini dilaporkan hadir dengan paparan skrin sesentuh OLED bersaiz 15.3 inci dengan resolusi 2880×1800 piksel dan kadar segar semula 120Hz. Panel ini juga tampil dengan nilai kecerahan 500 nit dan kemampuan untuk mengolah 100 peratus daripada gamut warna DCI-P3.

Ia dikuasakan oleh siri cip pemprosesan Intel Panther Lake, dengan salah satu konfigurasi cip dilihat sebagai Intel Core Ultra 5 325 dengan konfigurasi memori dan storan dari 16-32GB LPDDR5X dan SSD 256GB/512GB.

Dari segi pilihan I/O, komputer riba ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.0, dan satu palam audio 3.5mm. Ia juga dikatakan dilengkapi bateri 70WHr yang membolehkan komputer riba ini digunakan sepanjang hari. Dalam pada itu, sebuah aksesori tetikus khusus untuk komputer riba ini juga akan diperkenalkan.

Keunikan yang diperlihatkan pada komputer riba ini, dan mungkin pada komputer-komputer riba Googlebook yang lain adalah seperti logo “G” pada kekunci yang secara lazimnya memperlihatkan logo Windows, dan juga merupakan kekunci yang boleh digunakan untuk melancarkan pembantu AI Gemini, sama seperti kekunci Copilot pada komputer riba Windows. Kedua pula ialah logo berbentuk berlian pada bahagian kekunci Caps Lock yang juga merupakan kekunci yang boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi.
Lenovo Googlebook 15 dijangka akan diperlihatkan apabila Google memperkenalkan siri komputer riba Googlebook secara rasmi pada hari esok.
Sumber: MacObserver





