
PETALING JAYA: Pengeluar serbuk campuran ekstrak kopi dan teh, Butterfield FB Berhad (BFB) menandatangani perjanjian penaja jamin dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M&A Securities) sempena tawaran awam permulaan (IPO) yang bakal dilaksanakan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
M&A Securities, anak syarikat milik penuh M & A Equity Holdings Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO syarikat itu.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BFB, Lee Mong Khai berkata, pemeteraian perjanjian dengan M&A Securities membawa kumpulan selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities.
“Peristiwa penting ini menandakan permulaan lembaran baharu bagi BFB dalam usaha memacu pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan kami di pasaran.
“Kami percaya kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian minuman yang mudah disediakan.
“Apabila pengeluar makanan dan minuman terus memperkenalkan format baharu seperti campuran minuman segera dan produk minuman sedia diminum, permintaan terhadap serbuk campuran ekstrak kopi dan teh yang disesuaikan dijangka terus meningkat, sekali gus menyokong rancangan pengembangan dan prospek jangka panjang kami,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebahagian besar dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran dan penyimpanan di premis Bukit Minyak, termasuk pemasangan satu barisan pengeluaran baharu.
“Pelaburan ini akan membolehkan BFB memenuhi permintaan yang semakin meningkat, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh keupayaan kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di dalam dan luar negara,” ujarnya.
Pelaksanaan IPO BFB merangkumi terbitan awam sebanyak 150 juta saham biasa baharu, mewakili 18.8 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Selain itu, syarikat menawarkan jualan sebanyak 72 juta saham sedia ada atau sembilan peratus daripada modal saham diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih.
“Daripada 150 juta saham baharu itu, sebanyak 40 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, 16 juta saham kepada pengarah, pekerja yang layak serta individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan menerusi Peruntukan Borang Merah Jambu.
“Baki 94 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan MITI,” jelasnya.
Berdasarkan perjanjian penaja jamin itu, M&A Securities akan menjamin pengunderaitan sebanyak 56 juta saham baharu.
BFB dijadualkan disenaraikan di menjelang September 2026. – UTUSAN
The post Butterfield FB meterai perjanjian penaja jamin menjelang IPO Pasaran ACE appeared first on Utusan Malaysia.






