BYD batal rancangan bina kilang pemasangan di Tanjung Malim

LocalCars
11 Sep 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BYD batal rancangan bina kilang pemasangan di Tanjung Malim Image from: BYD batal rancangan bina kilang pemasangan di Tanjung Malim hamden11/09/2026 - 14:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – BYD Malaysia mengesahkan rancangan pembinaan kilang pemasangan di Tanjung Malim tidak akan diteruskan, namun komitmen syarikat terhadap pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia kekal.

 

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, berkata perubahan berhubung lokasi dan bentuk pelaburan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk membangunkan pasaran Malaysia.

 

Menurut beliau, keputusan tersebut bukan disebabkan BYD berdepan halangan tertentu, sebaliknya syarikat masih dalam proses mencari penyelesaian terbaik dari segi lokasi dan pelaburan.

 

“Budaya kami adalah untuk membangunkan dan meneroka sesuatu pasaran berdasarkan strategi jangka panjang.

 

“Untuk strategi jangka panjang, lokasi mungkin berubah dan pelaburan mungkin berbeza, tetapi komitmen kami tetap sama,” katanya pada pertemuan dengan media pada Khamis.

 

Ma berkata keutamaan BYD adalah untuk mendapatkan penyelesaian yang memberi manfaat bukan sahaja kepada syarikat dan pelanggannya, malah ekosistem automotif Malaysia secara keseluruhan.

 

“Bagi kami, perpindahan dari satu tempat ke tempat lain bukan kerana kami dihalang oleh sesuatu, tetapi kerana kami masih belum menemui penyelesaian terbaik,” katanya.

 

Bagaimanapun, Ma tidak mendedahkan sama ada BYD telah memilih lokasi baharu bagi kemudahan pemasangan CKD atau perkara yang akan berlaku terhadap tapak di Tanjung Malim.

 

Beliau juga enggan memberikan garis masa bila pengeluaran CKD akan dimulakan di Malaysia.

 

Namun, Ma memberi jaminan bahawa pelanggan Malaysia tidak akan berdepan masalah mendapatkan kenderaan BYD sementara menunggu permulaan pengeluaran tempatan.

 

“Saya tidak boleh mengulas bila CKD akan bermula, tetapi saya ingin menegaskan bahawa kami mempunyai stok yang mencukupi sehingga CKD bermula,” katanya.

 

Dalam pada itu, BYD Malaysia mengesahkan perbincangan dengan pembekal tempatan terus berjalan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem automotif tempatan.

 

Ma berkata komunikasi dengan ekosistem pembekal tempatan telah dimulakan sejak tahun lalu dan tidak pernah terhenti.

 

“Perbincangan itu tidak pernah terhenti. Malah sejak tahun lalu, kami sudah memulakan komunikasi dengan ekosistem tempatan,” katanya.

 

Bagaimanapun, BYD Malaysia masih belum bersedia mendedahkan sasaran peratusan kandungan tempatan bagi kenderaan yang bakal dipasang di Malaysia.

 

Perkembangan itu menunjukkan BYD masih meneruskan komitmennya terhadap pasaran Malaysia dalam jangka panjang, meskipun lokasi dan skala pelaburan pembuatan yang dirancang sebelum ini berkemungkinan berubah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved