liza11/09/2026 - 18:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept – Citaglobal Berhad memperoleh kontrak bernilai RM82.12 juta daripada Purnama Base Sdn Bhd bagi membina bangunan kolej kediaman baharu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB) yang menerima Surat Anugerah bertarikh 20 Ogos 2026 daripada Purnama Base pada 11 September 2026.
“Kontrak berkenaan diberikan secara reka dan bina dengan nilai tetap RM82.124 juta, meliputi kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan bangunan kolej kediaman baharu serta kerja-kerja berkaitan yang ditetapkan dalam kontrak utama projek.
“Tempoh pelaksanaannya adalah selama 22 bulan dan dijadualkan siap pada 30 Jun 2028,” katanya dalam makluman tersebut.
Tarikh siap berkenaan bagaimanapun boleh berubah sekiranya terdapat tarikh siap baharu yang ditentukan mengikut terma dan syarat kontrak tersebut.
Kukuhkan Buku Tempahan Kumpulan
Dengan penerimaan kontrak itu, jumlah buku tempahan Citaglobal dan anak-anak syarikatnya berada pada kira-kira RM1.5 bilion setakat 30 Jun 2026.
Citaglobal berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya, termasuk pendapatan sesaham dan aset bersih.
Bagaimanapun, sumbangan tersebut tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka sepanjang pelaksanaan kontrak.
Kontrak itu juga tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap tahap keberhutangan (gearing) kumpulan.
Citaglobal berkata syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa berkaitan kontrak tersebut selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek pembinaan.
Projek Kerajaan Dalam Sektor Pendidikan
Syarikat bagaimanapun akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan risiko berkenaan sekiranya ia berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.
Projek tersebut merupakan pembangunan Kerajaan Malaysia dalam sektor pendidikan yang dilaksanakan menerusi Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), membabitkan reka bentuk dan pembinaan bangunan kolej kediaman baharu di IPG Kampus Bahasa Melayu.
Di bawah kontrak utama projek itu, JKR bertindak sebagai majikan, manakala Purnama Base merupakan kontraktor utama selepas memperoleh kontrak daripada JKR pada 30 Disember 2025.
Purnama Base kemudiannya melantik Citaglobal Land sebagai subkontraktor bagi melaksanakan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan projek berkenaan.
Citaglobal berkata kontrak itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan syarikat serta pegangan pemegang saham utama.
Lembaga Pengarah Citaglobal, selepas mempertimbangkan semua aspek kontrak berkenaan, berpandangan bahawa projek itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com






