Vestland raih kontrak RM410 juta bina dua blok pejabat di Jalan Ampang

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vestland raih kontrak RM410 juta bina dua blok pejabat di Jalan Ampang Image from: Vestland raih kontrak RM410 juta bina dua blok pejabat di Jalan Ampang liza11/09/2026 - 17:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – Vestland Berhad meraih kontrak reka bentuk dan bina bernilai RM410 juta daripada Golden Armani Sdn Bhd bagi membangunkan sebuah projek 69 tingkat pejabat kediaman kecil (SOHO) dan 78 tingkat pejabat serba guna (SOVO) di Jalan Ampang.

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vestland berkata kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vestland Resources Sdn Bhd.

 

“Kerja pembinaan projek tersebut dijadualkan bermula pada 15 September 2026 dan dijangka mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kontrak bernilai RM410 juta itu merupakan kontrak baharu ketujuh yang diperoleh kumpulan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026).

 

Dengan kemenangan kontrak terbaharu itu, jumlah kontrak baharu yang diperoleh Vestland sepanjang FY2026 kini mencecah RM1.5 bilion, manakala jumlah buku tempahan tertunggak kumpulan meningkat kepada RM1.9 bilion.

 

Kukuhkan Kedudukan Di Kuala Lumpur

Pengarah Urusan Bersama Vestland, Datuk Liew Foo Heen berkata kontrak baharu tersebut mengukuhkan lagi kehadirannya di Kuala Lumpur, khususnya di kawasan sekitar KLCC.

 

Katanya, kedudukan projek yang strategik dan dikelilingi pelbagai pusat perniagaan, kawasan runcit serta kemudahan gaya hidup, selain disokong jaringan pengangkutan yang baik, menjadikan projek itu selari dengan pengalaman Vestland dalam melaksanakan pembangunan SOHO dan SOVO bertingkat tinggi di lokasi bandar utama.

 

Beliau berkata, kontrak tersebut turut mengukuhkan rekod Vestland dalam melaksanakan projek pembangunan bertingkat tinggi di kawasan strategik.

 

Buku Tempahan RM1.9 Bilion

Pada masa sama, peningkatan buku tempahan tertunggak kepada RM1.9 bilion memberikan Vestland keterlihatan pendapatan yang lebih baik bagi tempoh akan datang.

 

Vestland Resources mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri pembinaan sejak ditubuhkan pada 2011 dan terlibat dalam pembangunan pelbagai projek kediaman serta bukan kediaman untuk sektor swasta dan awam.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved