Selepas menguasai sendiri teknologi bateri, BYD kini memasuki era menghasilkan sendiri cip pintar yang menguasakan sistem swapandu kenderaan mereka. Cip Xuanji A3 direka sendiri oleh BYD dengan ia juga cip swapandu pertama direka sendiri oleh syarikat China.

Ia menggunakan teknologi 4nm dan apabila dipadankan dengan sistem God’s Eye ADAS memberikan kemampuan swapandu Tahap 3 dan Tahap 4. Tiga cip digabungkan untuk Xuanji A3 dengan ia memberikan kuasa pemprosesan 2,100 TOPS. Menurut CEO BYD Wang Chuanfu, cip ini sudah sedia untuk pengeluaran besar-besaran dan digunakan pada kenderaan BYD.
Tidak seperti pengeluar lain yang bergantung pada pembekal luar, BYD membangunkan hampir semua komponen kenderaan secara dalaman, termasuk cip ini sendiri. Ini memberi BYD kelebihan kos dan keupayaan mempercepat pembangunan teknologi baharu
Di GTC awal tahun ini, BYD bersama dengan Geely, dan Nissan adalah antara syarikat terawal yang akan menggunakan platform swapandu Tahap 4 NVIDIA DRIVE Hyperion. Tidak diketahui sama ada mereka akan terus mencuba platform NVIDIA atau menggunakan kedua-duanya sekali bagi membangunkan sistem yang lebih berkuasa.





