johardy19/10/2026 - 10:20 Gambar kenderaan BYD oleh Michael Förtsch Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Keputusan pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD untuk menggunakan kemudahan pemasangan sedia ada milik Inokom Corporation Sdn Berhad di Kulim, Kedah berpotensi membolehkannya mengelak daripada sekatan jualan domestik yang dikenakan terhadap cadangan asal pembinaan kilang baharunya di Tanjong Malim, Perak.
TA Securities berkata, berdasarkan penjelasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 31 Mac 2026, syarat tambahan lesen pengilangan yang diperkenalkan sejak September 2025 tidak terpakai kepada projek yang menggunakan kemudahan pemasangan tempatan sedia ada.
Di bawah cadangan asal pembinaan kilang BYD di Tanjong Malim, jualan domestik dihadkan kepada 20% daripada pengeluaran yang dirancang, bersamaan 10,000 unit seperti dinyatakan dalam laporan TA Securities, manakala baki 80% diperuntukkan untuk eksport.
Kenderaan yang dijual di pasaran tempatan juga tertakluk kepada harga minimum atas jalan sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan bahawa syarat kelulusan baharu bagi kerjasama BYD dengan Inokom masih belum disahkan.
Menurut TA Securities, penggunaan kemudahan pemasangan sedia ada berpotensi memberikan BYD lebih banyak kelonggaran untuk menumpukan perhatian kepada pasaran Malaysia tanpa perlu membuat pelaburan besar bagi membina kilang sendiri.
BYD pilih Inokom selepas batalkan rancangan kilang Tanjong Malim
BYD Malaysia melantik Inokom sebagai rakan pemasangan tempatan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di Shenzhen, China pada 15 Oktober 2026.
Kerjasama itu menyusuli keputusan BYD untuk tidak meneruskan rancangan terdahulu membangunkan kilang pengeluaran di Tanjong Malim.
TA Securities menyifatkan pendekatan tersebut lebih praktikal kerana BYD boleh memanfaatkan kemudahan pengeluaran, tenaga kerja berpengalaman dan rantaian bekalan Inokom yang sudah tersedia.
Langkah itu juga berpotensi mempercepatkan permulaan pemasangan tempatan serta mengurangkan kos pelaburan awal berbanding pembinaan kilang baharu.
Bagaimanapun, model yang akan dipasang, jumlah pengeluaran dan bayaran pemasangan masih belum diumumkan.
Firma penyelidikan itu berpandangan perkembangan berkenaan juga boleh mendorong lebih banyak pengeluar kenderaan asing mempertimbangkan kerjasama dengan syarikat pemasangan tempatan berbanding membangunkan kilang sendiri.

Kilang Inokom beroperasi pada kapasiti 80%
Inokom mengendalikan kilang pemasangan seluas kira-kira 80.9 hektar di Kulim dengan lebih 2,700 pekerja.
Kemudahan itu memasang kenderaan bagi enam jenama utama iaitu BMW, MINI, Porsche, Mazda, Hyundai dan Chery.
Jumlah pengeluaran Inokom meningkat daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada 2025.
Berdasarkan semakan TA Securities dengan pengurusan Sime Darby Bhd, kilang berkenaan kini beroperasi pada sekitar 80% kapasiti, dengan pemasangan BYD dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang.
Selain itu, rancangan pemindahan operasi pemasangan Kia ke kilang Stellantis di Gurun menjelang suku ketiga 2026 berpotensi menyediakan kapasiti tambahan kepada Inokom.
Kemudahan pengecatan baharu bernilai RM300 juta yang mula beroperasi pada Ogos 2026 pula menggandakan kapasiti pengecatan kepada 100,000 unit setahun.
Bagaimanapun, TA Securities berkata, masih belum jelas sama ada kadar penggunaan kapasiti 80% itu sudah mengambil kira pemindahan operasi Kia atau sama ada pengeluaran BYD akan menggantikan sebahagian besar jumlah pemasangan Kia.
Sumbangan keuntungan kepada Sime Darby dan Bermaz Auto dijangka kecil
TA Securities berkata, kerjasama itu memberikan prospek positif kepada Sime Darby melalui pendapatan pemasangan kontrak Inokom dan pengedaran kenderaan menerusi Sime Motors.
Bermaz Auto Bhd yang memegang 29% kepentingan dalam Inokom turut berpotensi menikmati peningkatan pendapatan daripada syarikat bersekutunya.
Bagaimanapun, analisis sensitiviti TA Securities menunjukkan sumbangan keuntungan tambahan dijangka sederhana.
Berdasarkan andaian pemasangan 10,000 kenderaan BYD setahun dengan keuntungan bersih tambahan RM500 bagi setiap unit, Inokom berpotensi menjana keuntungan bersih tambahan RM5 juta.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM2.7 juta boleh diatribusikan kepada Sime Darby dan RM1.5 juta kepada Bermaz Auto, masing-masing mewakili kurang daripada 1% keuntungan teras yang diunjurkan bagi tahun kewangan 2027.
TA Securities belum memasukkan sebarang sumbangan BYD dalam unjuran pendapatannya sementara menunggu maklumat lanjut mengenai jumlah pengeluaran dan margin pemasangan.
Menurut firma itu, BYD akan menanggung perbelanjaan modal khusus bagi model kenderaannya, manakala Inokom hanya perlu membiayai kos perkakasan bersama yang terhad tanpa memerlukan perbelanjaan modal langsung tambahan daripada Bermaz Auto.
Proton e.MAS mendahului pasaran EV Malaysia
Dalam perkembangan berkaitan, pendaftaran EV Malaysia meningkat 98.8% kepada 53,500 unit bagi sembilan bulan pertama 2026 berbanding 26,900 unit dalam tempoh sama tahun lalu, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipetik TA Securities.
Penembusan EV dalam keseluruhan pendaftaran kenderaan baharu turut meningkat kepada 8.4% berbanding 4.4% sebelumnya.
Proton e.MAS mendahului pasaran dengan 24,900 pendaftaran atau 46.4% bahagian pasaran, diikuti BYD sebanyak 8,100 unit atau 15.1%.
TA Securities berpandangan pemasangan tempatan boleh membantu BYD menawarkan harga lebih kompetitif dan meningkatkan ketersediaan kenderaan, namun penjimatan kos tidak semestinya menghasilkan margin keuntungan lebih tinggi sekiranya manfaat tersebut disalurkan kepada pengguna melalui harga jualan lebih rendah.
Pada masa sama, persaingan yang semakin sengit, khususnya kemasukan lebih banyak jenama China dan strategi penetapan harga agresif, berpotensi terus memberi tekanan kepada margin keuntungan pemain industri automotif.
Firma itu mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor automotif, dengan saranan beli bagi Bermaz Auto pada harga sasaran RM1.02 dan saranan pegang bagi Sime Darby pada harga sasaran RM2.63. - DagangNews.com




